PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu memendekkan lawatan rasminya ke luar negara semata-mata mahu menyelesaikan sesuatu isu dalam negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, tidak timbul isu berkenaan kerana Perdana Menteri boleh menjawab sebarang isu di mana sahaja beliau berada.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri akan kembali ke Malaysia Rabu depan dan kini dalam lawatan rasmi ke beberapa negara termasuk menghadiri sidang kemuncak ekonomi.
“Sudah pasti dalam zaman sekarang sekiranya perlu beliau (Perdana Menteri) boleh menjawab apa-apa isu atau pun memberi komen dan ia boleh dibuat di mana saja,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata mengulas sama ada Anwar perlu memendekkan siri lawatannya bagi menyelesaikan beberapa isu termasuk dakwaan rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Anwar kini dalam siri lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Latin sejak Rabu lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut sedang menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.
Sebelum ini, tular video mengenai perbualan seorang ADUN dari Sabah dengan ahli perniagaan yang didakwa cuba mendapatkan kontrak bernilai jutaan ringgit.
Perbualan tersebut melibatkan ahli perniagaan yang menawarkan RM3 juta untuk mendapatkan kuota atau lesen untuk masuk ke kawasan yang dikehendaki.
Kerajaan Sabah sebelum ini menyatakan kesediaan bekerjasama dengan SPRM berhubung dakwaan rasuah membabitkan ADUN dari negeri itu. – UTUSAN