PM bertemu ‘chaebol’ bincang hal pelaburan

PM bertemu ‘chaebol’ bincang hal pelaburan

ANWAR Ibrahim (tengah) ketika mengadakan pertemuan dengan wakil ‘chaebol’ iaitu pemimpin perniagaan terkemuka di Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan wakil ‘chaebol’ iaitu pemimpin perniagaan terkemuka di Korea Selatan bagi membincangkan kerjasama ekonomi yang lebih rapat.

Chaebol atau tokoh korporat) adalah konglomerat milik keluarga, secara tradisinya menikmati hubungan rapat dengan kerajaan Korea Selatan.

Sokongan kerajaan negara tersebut terhadap entiti itu bermula selepas Perang Korea sebagai sebahagian daripada usaha untuk membina semula ekonomi negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau bersama dua konglomerat Korea Selatan iaitu Kumpulan Samsung dan Kumpulan SK membuahkan hasil yang sangat produktif  untuk kepentingan kedua-dua negara.

Kata beliau, kedua-dua syarikat gergasi di Korea Selatan itu menunjukkan respons positif dengan memberi kepercayaan dan komitmen mereka untuk meningkatkan pelaburannya di Malaysia.

“Sekalung penghargaan kepada Samsung atas kepercayaan dan keyakinan berterusan konglomerat itu kepada Malaysia.

“Saya mengalu-alukan lebih banyak pelaburan daripada Samsung terutama dalam bidang-bidang baharu seperti rantaian bekalan bateri kenderaan elektrik (EV), hidrogen hijau dan pemerangkapan serta penyimpanan karbon (CCS) serta semikonduktor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar memulakan lawatan rasminya pada 24 November bagi mengukuhkan lagi hubungan bilateral sedia ada antara Malaysia dengan Korea Selatan.

Perbincangan yang diadakan Perdana Menteri dengan kumpulan perniagaan itu adalah selaras dengan strategi Malaysia untuk mendapatkan pelaburan bernilai tinggi, pertumbuhan tinggi daripada Korea Selatan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, SK Plasma bercadang untuk melabur di Malaysia dan kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada syarikat konglomerat kedua terbesar di Korea Selatan.

“Usaha ini tidak hanya akan menambah baik infrastruktur untuk pengutipan plasma di Malaysia, tetapi juga akan membangun industri biologik di Malaysia lantas mengurangkan kebergantungan kepada import produk plasma.

“Saya ucap terima kasih kepada keyakinan yang ditonjolkan SK dan mengalu-alukan pengembangan pelaburannya selain pelaburan di segmen lain dalam industri biologik di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya