ALOR SETAR: Laporan kajian berkenaan dengan kartel padi dan beras akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr. Fuziah Salleh berkata, beliau sendiri sudah meneliti laporan tersebut yang disiapkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
“Laporan itu sudah siap dan saya sendiri tengok tetapi saya tidak boleh mendedahkan apa intipatinya. Saya tidak boleh mendahului Perdana Menteri.
“Kita tunggu Perdana Menteri dedahkan apa intipati laporan itu,” katanya ketika ditemui selepas turun padang ke program Kita Gempur Zon Utara di Pantai Johor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, Kerajaan Madani berada di landasan yang tepat dalam usaha membanteras kartel tersebut terutama membabitkan industri pengeluaran ayam negara.
“Pada awal 2023 selepas Kerajaan Madani mengambil alih negara, Perdana Menteri mengeluarkan arahan untuk dibuat siasatan ke atas kartel. Hasil siasatan itu kita dapati memang ada pakatan.
“Apabila kartel sudah dibanteras, kita dapati sekarang harga ayam terkawal dan paling tinggi kita dapati di kedai dijual pada harga RM8 sekilogram. Itu contoh apabila kita banteras kartel kita dapat mengawal harga barang keperluan,” katanya. – UTUSAN