KANGAR: Pusat Latihan Daerah (PLD) Kangar bawah 16 tahun mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara kejohanan Bola Sepak Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) PLD peringkat kebangsaan yang berlangsung di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Pahang baru-baru ini.
PLD Kangar berpusat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi menjadi juara kumpulan dan berjaya menewaskan pasukan PLD NFDP Pulau Pinang di pentas akhir menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas kedudukan seri 0-0.
Dalam kejohanan itu, pasukan PLD Kangar bawah 14 tahun turut cemerlang apabila berjaya menduduki tempat ketiga.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga dari 25 hingga 27 November itu membabitkan 14 pasukan yang mewakili setiap negeri. Jumlah keseluruhan pasukan PLD di seluruh negara ialah sebanyak 65 pasukan yang akan merebut satu slot bagi mewakili negeri masing-masing.
Ketua jurulatih PLD Kangar, Mohd Annif Mat Aman berkata, dia begitu bangga dengan sumbangan setiap jurulatih dan pemain yang berjuang bermati-matian untuk membawa pulang piala kejuaraan buat negeri Perlis yang juga merupakan buat kali pertama.
Katanya, persiapan rapi yang dijalankan oleh barisan kejurulatihan PLD Kangar terdiri daripada Ahmad Izuan Ismail, Nor Afizan Abd Aziz, Rafie Ibrahim dan Hafizal Musa telah membuahkan hasil yang diimpikan.
“Saya selalu mengingatkan semua jurulatih agar sentiasa berusaha gigih dalam membentuk pasukan yang mantap walaupun berhadapan pelbagai cabaran dan dugaaan.
“Walaupun Perlis negeri kecil namun anak-anak Perlis tetap berjiwa besar dan sentiasa berjuang untuk mencapai kejayaan. Terima kasih kepada semua barisan kejurulatihan, pemain, ibu bapa dan barisan pentadbiran SMK Syed Alwi selain
semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.-UTUSAN