PUTRAJAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan kononnya mereka mahu menukar mekanisme pemilihan parti daripada ‘satu anggota, satu undi’ kepada sistem perwakilan.
Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil berkata, beliau mengesahkan bahawa perkara itu pernah dibincangkan namun, tiada sebarang keputusan dibuat mengenainya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, setakat ini, tiada kata putus mengenai cadangan untuk menukar mekanisme pemilihan parti itu.
“Tak pasti, jangan kongsi. Saya ada meneliti sejumlah laporan dan sebagai Ketua Penerangan Keadilan, saya boleh sahkan waktu ini tidak ada keputusan, yang ada adalah perbincangan.
“Pada waktu ini belum ada keputusan. Jadi sukar untuk saya jawab tentang spekulasi ini,” katanya.
Sebelum ini, seorang Ketua Cabang PKR mendedahkan, ada usaha untuk menukar mekanisme pemilihan parti daripada ‘satu anggota, satu undi’ kepada sistem perwakilan dan difahamkan, cadangan itu dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), bulan lalu.
Ketua Cabang itu mendakwa, cadangan tersebut akan menghadkan hak mengundi ahli, menjurus penurunan sokongan akar umbi, sekali gus berupaya untuk mereka beralih sokongan kepada parti lain sewaktu pilihan raya umum kelak.
Pemimpin cabang itu juga menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengekalkan sistem ‘satu anggota, satu undi’. – UTUSAN