PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan hadiah bernilai RM15,000 untuk pengunjung ke siri akhir program PKNS Pilih Karnival Selangor Cyber Valley pada 23 dan 24 November ini.
Pengunjung turut berpeluang membawa pulang hadiah menarik termasuk cabutan bertuah seperti motorsikal, basikal dan skuter elektrik dalam karnival yang diadakan di Galeri Jualan Selangor Cyber Valley.
PKNS dalam satu kenyataan berkata, pertandingan Street Soccer turut diadakan dan juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta pingat; tempat kedua (RM1,000 serta pingat) dan ketiga, RM800 serta pingat.
“Kita juga menyediakan hadiah tempat keempat RM600 serta pingat. Penganjuran ini mendapat kerjasama Penggerak Belia Selangor dan tajaan oleh Jawatankuasa Kemasyarakatan, Alam Sekitar, Sukan dan Pelancongan Majlis Perbandaran Sepang serta Ahli Majlis Zon Sepang Utara.
“Orang ramai yang berhasrat menyertai pertandingan Street Soccer boleh mendaftar menerusi kod QR yang disediakan penganjur,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu PKNS berkata, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi terkenal tanah air iaitu Mus May, Azmi Caliph Busker dan Haiza.
Selain itu katanya, turut menjadi tarikan adalah pertandingan mewarna kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun, Soopa Doopa, Zoo Mini, gerai jualan makanan dan minuman serta food truck.
“ Decathlon Healing Port” turut disediakan Decathlon D’Pulze Cyberjaya. Pengunjung turut berpeluang menerima baucar Decathlon pada dua hari karnival dijalankan.
“Pengunjung juga boleh menyertai acara Libas Takraw Challenge, Penalti Challenge, Timbang Bola Challenge dan Basketball Hoop selain permainan uji minda bertema Sambung Lirik Lagu, Teka Apa Atas Kepala, Wheel Of Fortune, Minute To Win It dan Family Feud turut diadakan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pengunjung juga boleh menikmati saringan kesihatan percuma yang disediakan Selcare dengan potongan harga hingga 50 peratus untuk produk kesihatan seperti vitamin dan makanan kesihatan tambahan.
“Orang ramai juga boleh melihat pameran projek hartanah PKNS iaitu Intana Ria 3, Aludra, Puteri Ariana, Puteri Ariana 2, Puteri Ariana 3 dan Ixora.
“Kesemua projek perumahan itu berkonsepkan kediaman pangsapuri, rumah bandar dan rumah teres dua tingkat sebagai sebahagian daripada usaha PKNS untuk memperluaskan portfolio rumah kontemporari di beberapa lokasi,” jelasnya.– UTUSAN