PKNS sasar RM1.7 bilion GDV bagi 12 projek perumahannya tahun depan

PKNS sasar RM1.7 bilion GDV bagi 12 projek perumahannya tahun depan

MAHMUD Abbas (dua, kanan) melihat replika rumah selepas menyempurnakan perasmian program kempen PKNS Pilih Karnival 2024 di Selangor Cyber Valley (SCV), Cyberjaya. - UTUSAN/ FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM1.7 bilion bagi 12 projek perumahan dan hartanah baharu tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, pihaknya menyasarkan untuk melancarkan enam projek pembangunan bagi separuh pertama 2025 dan bakinya pada separuh tahun kedua.

Beliau berkata, ia satu peningkatan berbanding RM1 bilion GDV yang ditetapkan tahun ini.

“Ada juga projek yang kami tangguh tahun ini dan dilaksanakan tahun depan bagi memberi laluan kepada pembinaan infrastruktur seperti tasik, laluan trek joging dan pelbagai fasiliti lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Siri terakhir Program Pilih Karnival PKNS di Galeri Jualan Selangor Cyber Valley (SCV) di sini, hari ini.

Katanya, Program Pilih Karnival 2024 menutup tirai selepas lima bulan berlangsung di beberapa lokasi projek perumahan di sekitar Selangor.

Mahmud berkata, Pilih Karnival adalah inisiatif kempen gaya hidup oleh PKNS Homes pada tahun
ini, di mana ia menjadi platform kepada PKNS untuk mendekati komuniti setempat sambil mempromosikan produk perumahannya kepada masyarakat umum.

“Program ini bukan sahaja menarik minat orang ramai tetapi juga berupaya meningkatkan kesedaran serta jualan hartanah PKNS seiring promosi menarik ditawarkan sepanjang karnival.

“Sempena siri akhir program ini, pengunjung bertuah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik dengan nilai keseluruhan RM15,000, antaranya motosikal, basikal, skuter elektrik dan pelbagai barangan istimewa lain,” katanya.

Katanya, pengunjung juga berpeluang memenangi sebuah Perodua Bezza menerusi kempen PKNS 60th Anniversary Giveaway apabila membeli mana-mana koleksi PKNS Homes.

Jelasnya lagi, projek perumahan itu termasuk Pangsapuri Intana Ria 3 (Bandar Baru Bangi), Aludra dan Adhara (SCV) dan Puteri Ariana (Kota Puteri) dari 15 Oktober hingga 31 Disember ini.

Mahmud berkata, tawaran eksklusif ini diadakan khas bagi meraikan ulang tahun ke-60 PKNS pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN