PADANG BESAR: Projek Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang dijangka beroperasi pada bulan Julai tahun depan bakal memperkukuhkan logistik dan meningkatkan perdagangan serantau.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, selain itu, inisiatif kerjasama antara Perlis Inland Port, Pelabuhan Pulau Pinang & Asosiasi Depo Kontainer Indonesia (ASDEKI) juga berupaya menghidupkan kerjasama ekonomi antara wilayah yang telah sekian lama diusahakan melalui Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Beliau berkata, apabila projek PIP dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) siap dibangunkan, kerajaan negeri bersedia untuk memainkan peranan lebih besar sebagai tuan rumah kepada kargo Sumatera yang akan dieksport ke Bangkok, Vientiane, Laos, dan Kunming, China, dengan kombinasi mod laut dan rel.
“Selain itu, kargo dari China pula dapat turun semula ke Perlis dan diagihkan kepada wilayah-wilayah serantau khususnya Sumatera dan Semenanjung Malaysia dengan lebih cepat dan harga yang kompetetif.
“Malah, kerajaan negeri juga boleh menjadi hab kargo dari Eropah untuk ke ASEAN melalui laluan rel,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PIP dan Pelabuhan Pulau Pinang dan Majlis Penyerahan Memorandum Kolaborasi (MOC) antara Mutiara Perlis & Asosiasi Kontainer Indonesia (ASDEKI) di Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) CVIA, di sini, hari ini.
Kerjasama menerusi MoU dan MOC itu bertujuan bagi memperkukuhkan komitmen bersama dalam meningkatkan perdagangan serantau, merasionalisasi logistik dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam koridor logistik ASEAN.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Sasedharan Vasudevan manakala MOC pula ditandatangani oleh Presiden ASDEKI, Khairul Mahalli.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata, kerjasama itu merupakan transformasi penting dalam landskap logistik di Utara Malaysia di samping menyokong pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh pergerakan kargo sempadan.
Beliau berkata, kerjasama ini juga merangkumi usaha bagi mengkonsolidasikan kontena kosong di PIP dalam mempermudahkan urusan penghantaran antara Selatan Thailand dan Pelabuhan Pulau Pinang.
“Inisiatif strategik ini menekankan komitmen untuk mengoptimumkan aliran perdagangan serantau dan memperkukuhkan sambungan logistik rentas sempadan,” katanya.
Tambah Shabaruddin, MOC bersama ASDEKI juga dapat meluaskan jangkauan dalam rantau ASEAN di samping menekankan kerjasama rentas sempadan dan koordinasi logistik dengan Indonesia.
“Kerjasama dengan ASDEKI memperlihatkan kerangka bersama untuk kolaborasi serantau, membolehkan kedua-dua negara memanfaatkan kelebihan logistik dan membina koridor logistik ASEAN yang terintergrasi,” katanya.-UTUSAN