JOHOR BAHRU: Seorang perunding kecantikan bukan sahaja tidak menerima pinjaman, malah wang simpanan lebih RM150,000 turut ‘lebur’ akibat terpedaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 38 tahun itu yang berniat membuat pinjaman bagi memulakan perniagaan terpedaya dengan taktik sindiket yang menggunakan nama dan logo jenama sebuah bank tempatan.
“Mangsa melihat iklan pinjaman wang berkenaan dalam laman sosial Facebook pada 11 November lalu sebelum menghubungi nombor tertera dan mula bertanyakan tentang pinjaman berkenaan.
“Mangsa yang dijanjikan proses mudah dan pinjaman segera bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM300,000, namun perlu membuat pembayaran awal sebagai syarat. Dia kemudian membuat 18 transaksi pembayaran bermula 16 hingga 20 November lalu ke dalam 14 akaun berbeza berjumlah RM156,468,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila pinjaman dijanjikan tidak diterima, malah diminta untuk membuat pembayaran tambahan pula.
Mangsa membuat pemeriksaan lanjut dengan menghubungi bank berkenaan, namun dimaklumkan pinjaman itu tidak wujud.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN