KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan dibawa ke Parlimen untuk bacaan kali pertama pada Isnin ini sejak dikuatkuasakan 26 tahun lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, cadangan pindaan itu akan memperluas skop penggunaan Seksyen 233 bagi menangani penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.
Katanya, pindaan itu turut memberi tumpuan kepada aspek media sosial, pembangunan industri dan keselamatan rangkaian.
Justeru, katanya, penyedia platform media sosial juga akan diberi taklimat khusus untuk memastikan mereka memahami matlamat kerajaan serta cakna terhadap perubahan yang dicadangkan.
“Kita juga akan bawa Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian ke Parlimen, selain meminda takrif Mule Account (Keldai Akaun) disusuli pindaan terhadap Kanun Keseksaan serta memperkenal takrifan baharu bagi kesalahan buli siber termasuk jenayah seperti doxing dan satu lagi kod tatalaku baharu kini berada pada peringkat draf akhir.
“Usaha ini bertujuan memastikan internet menjadi ruang yang lebih selamat terutama bagi kanak-kanak dan keluarga. Fokus utama adalah menangani kemudaratan dalam talian seperti judi dalam talian, penipuan, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Komunikasi 2024 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan pendaftaran perlesenan platform media sosial yang bakal berkuat kuasa 1 Januari hadapan, Fahmi berkata, semua penyedia platform akan diberi taklimat berkaitan usaha kerajaan memperkasakan platform Internet.
“Untuk separuh pertama Disember, saya minta platform-platform ini diberikan taklimat supaya mereka memahami usaha dan niat kita, undang-undang yang akan diperkenalkan melalui pindaan Akta 588 serta peranan penting mereka dalam memastikan Internet di Malaysia ebih selamat, katanya.
Menurut Fahmi, kerajaan sentiasa memantau dan meneliti usaha yang diambil oleh pelbagai negara termasuk Australia yang meluluskan undang-undang melarang individu di bawah usia 16 tahun daripada menggunakan media sosial.
“Pada masa ini, semua platform media sosial melarang kanak-kanak di bawah usia 13 tahun memiliki akaun. Misalnya, WhatsApp menetapkan had umur 16 tahun berdasarkan Community Guidelines. Jadi, kita akan bermula dengan had umur yang ditetapkan oleh mereka sendiri.
“Kita akan melihat kemampuan mereka melaksanakan peraturan ini terlebih dahulu, barulah kita akan meneliti aspek lain untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN