Pinda akta tangani kekejaman haiwan terbiar

Pinda akta tangani kekejaman haiwan terbiar

Haiwan terbiar
PENGUKUHAN Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) mampu melindungi haiwan terbiar daripada sebarang bentuk kekejaman dan keganasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa kerajaan meneliti dan memperkukuh Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) bagi memastikan haiwan terbiar dlindungi daripada sebarang bentuk kekejaman dan keganasan.

Presidennya, Kalaivanan Ravichandran berkata, kajian semula dan pindaan akta sangat penting bagi menangani amalan sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertindak menembak haiwan terbiar tanpa sebab yang munasabah. 

“Kami berharap pindaan yang dicadangkan bakal merangkumi larangan tegas terhadap amalan menembak haiwan, selain memperkenal mekanisme pengurusan haiwan terbiar yang lebih berkesan dan sistematik,” katanya dalam kenyataan. 

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan PBT dan pihak lain untuk tidak menggunakan undang-undang ‘kecil’ bagi membunuh haiwan terbiar atau melakukan keganasan hingga melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

Menurut beliau, walaupun wujud akta yang jelas, statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan lebih 7,600 aduan penderaan haiwan diterima sejak 2021 dengan sebanyak 3,334 kes direkodkan di Selangor. 

Katanya, kewujudan undang-undang kecil di bawah setiap PBT tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membenarkan tindakan kekejaman atau keganasan terhadap haiwan terbiar.

“Di Pulau Pinang, PBT telah menghapuskan amalan pembunuhan haiwan terbiar dengan melaksanakan program Trap-Neuter-Return (TNR). Langkah tersebut kini diikuti oleh Negeri Sembilan. 

“Namun, masih terdapat negeri lain yang menggunakan kaedah pelupusan haiwan, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” jelasnya. 

Kalaivanan berkata, kerajaan perlu bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, PBT dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dalam usaha menyelesaikan masalah populasi haiwan terbiar dengan lebih sistematik dan berkesan. 

“Kerjasama ini akan memastikan pelaksanaan yang lebih komprehensif yang secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada haiwan terbiar serta masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Kalaivanan berkata, kerajaan disaran memberi penekanan kepada pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dalam mengatasi masalah haiwan terbiar. 

“Salah satu kaedah yang dicadangkan adalah perlaksanaan program TNR yang telah terbukti sebagai cara yang efektif dan tidak melibatkan kekerasan dalam mengawal populasi haiwan terbiar. 

“Pendekatan tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah haiwan terbiar, tetapi juga memastikan kebajikan haiwan terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya