PASIR MAS: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pasar Tasik Raja, di sini, semalam.
Tangkapan ke atas suspek itu dilakukan pada pukul 11 pagi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan selepas anggota bertugas menahan sebuah trak pikap yang dilihat dalam keadaan mencurigakan
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas trak pikup jenis Toyota Hilux itu telah membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis Walther P88.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati pistol itu lengkap berisi lapan butir peluru bersaiz sembilan milimeter.
“Kita turut temukan satu unit gari dan kad kuasa SPRM yang disyaki palsu di dalam beg silang milik suspek.
“Hasil siasatan lanjut, satu serbuan telah dilakukan ke atas sebuah rumah di Kampung Kubang Pak Amin di sini, telah menemukan pelbagai peralatan dan barang seperti set drone berlogo SPRM, lambang SPRM pelbagai saiz, baju SPRM dan lain-lain yang digunakan untuk tujuan penyamaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api. – UTUSAN