TANAH MERAH: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu merampas kasut dan beg tangan tiruan pelbagai jenama terkenal bernilai RM3.18 juta yang diseludup dari Thailand selepas menahan sebuah lori di Jalan Ismail Petra di sini, semalam.
Dalam serbuan pukul 1.30 tengah hari, seorang pemandu berusia 27 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan di dalam lori jenis Isuzu itu membawa penemuan sebanyak 9,369 pasang kasut tiruan pelbagai jenama dan 1,866 unit beg tangan yang disyaki diseludup dari negara jiran.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua barangan tersebut tiada sebarang dokumen yang sah.
“Pemandu lori itu dipercayai berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup kasut dan beg tangan tersebut ke pasaran tempatan.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke kompeni taktikal Rantau Panjang dekat sini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019. – UTUSAN