Petani Sabah cari penaja sertai Siri Akhir Larian UTMB di Perancis - Utusan Malaysia

Petani Sabah cari penaja sertai Siri Akhir Larian UTMB di Perancis

MILTON Amat menduduki tempat ketiga acara larian denai sejauh 100 kilometer pada Malaysia Ultra Trail – UTMB 2024 di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Peserta dari Sabah, Milton Amat, 42, tidak menyangka mampu meraih tempat ketiga acara larian denai sejauh 100 kilometer pada Malaysia Ultra Trail – UTMB 2024 di sini hari ini.

Milton, yang merupakan seorang petani menamatkan perlumbaan dengan masa 12 jam, 2 minit dan 18 saat di belakang dua peserta China, Duo Ji (11 jam 1 minit 18 saat) yang menduduki tempat pertama manakala Bai Xingzhi tempat kedua (12 jam dan 49 saat).

Menurut Milton, kedudukan ketiga dalam acara tersebut merupakan  hadiah istimewa sempena ulang tahun hari kelahirannya yang disambut tiga hari lalu.

Katanya, perbezaan masa dua minit dengan pemenang larian tidak menyebabkan dia kecewa kerana sudah berusaha yang terbaik dalam larian bertaraf dunia itu.

“Cabaran yang paling utama di sepanjang trek ialah kawasan Bukit Larut menuju ke Angkasa kerana permukaan laluan di situ mendaki setinggi hampir 2,000 meter dari aras laut.

“Saya bersyukur kerana mampu melepasi cabaran di situ dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kemenangan itu melayakkan Milton secara automatik ke Siri Akhir Dunia UTMB yang akan diadakan di Charmonix di Perancis pada Ogos tahun depan.

Menurutnya, dia mahu menyertai Siri Akhir Kejohanan Dunia UTMB  bagi mengharumkan nama negara.

“Namun saya masih mencari dan berharap agar ada pihak yang sudi menjadi penaja untuk ke sana. Saya memerlukan dana sebanyak RM10,000 dan masih cuba mencari penaja kerana kekangan kewangan.

“Saya hanya seorang petani dan perbelanjaan untuk menyertai Kejohanan Dunia memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya.

Sementara itu, juara tahun lalu , David Simpak seorang malim gunung dari Sabah terpaksa menarik diri daripada perlumbaan ketika di laluan Bukit Larut.

Larian denai UTMB bermula Jumaat disertai 3,200 orang peserta dari 62 buah negara.

Cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat tidak menjadi penghalang untuk 340 orang peserta bagi kategori lelaki dan wanita 100 kilometer menamatkan larian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya