PETALING JAYA: Pintu rundingan dengan pembangkang berkaitan perjanjian persefahaman (MoU) peruntukan ahli Parlimen sentiasa terbuka sehingga kata sepakat dicapai oleh semua pihak, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, jalinan kerjasama harmoni amat penting memandangkan semua ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab besar dan penting sebagai semak dan imbang perkara berkaitan dasar kerajaan demi kepentingan rakyat.
“Kerajaan sentiasa terbuka dan membuka ruang agar hal ini dirunding sehingga mencapai kesepakatan di antara semua pihak,” katanya dalam jawapan bertulisnya kepada Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).
Sebelum itu, Suhaizan meminta Timbalan Perdana Menteri menyatakan punca penolakan pembangkang terhadap Perjanjian Peruntukan Parlimen dan perbezaan perjanjian sekarang dengan era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Fadillah berkata, draf MoU disediakan oleh pihak kerajaan mendapat maklum balas dan persetujuan daripada kesemua wakil whip parti gabungan yang membentuk kerajaan madani sebelum ia dikemukakan kepada Ketua Whip Pembangkang secara rasmi pada 1 Ogos lalu.
Bagaimanapun, katanya, tanpa sebarang maklum balas terus kepada kerajaan, pihak pembangkang sebaliknya membuat kenyataan akhbar pada 14 September untuk menolak draf MoU yang telah dikemukakan.
“Antara alasan penolakan adalah boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan, bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama serta nilai-nilai tempatan.
“Ia tidak mempunyai mekanisme jelas yang boleh membuka ruang kepada berlakunya pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara sebelah pihak dan mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen,” katanya.
Tambah Fadillah lagi, tindakan pembangkang itu amat berbeza berbanding ketika zaman pentadbiran Ismail Sabri kerana beberapa siri rundingan dilaksanakan oelh kedua-dua pihak.
“Draf MoU yang disediakan oleh kerajaan pada ketika itu telah dipinda berkali-kali berdasarkan perbincangan daripada kedua-dua pihak sebelum mencapai kata sepakat dan dimuktamadkan,” katanya. – UTUSAN