KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia berbincang dengan mana-mana ahli Parlimen daripada blok pembangkang berhubung penyaluran peruntukan.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan, menyifatkan dirinya sudah ditolak oleh blok pembangkang memandangkan hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberikan maklum balas.
Bagaimanapun, beliau bersedia mengadakan perbincangan bersama ahli Parlimen pembangkang secara bersemuka.
“Muar sudah menulis surat kepada saya dan saya sedang meneliti segala cadangan balas olehnya. Ini akan dibincangkan dibawah whip-whip kerajaan, insya-Allah saya akan panggil beliau nanti untuk memberi respon balik mengenai apa yang sudah dikemukakan.
“Jika ada dalam kalangan individu atau ahli Parlimen yang nak berbincang dengan saya di sebelah sana (blok pembangkang), saya terbuka tetapi kalau secara kelompok, dikatakan pihak parti sendiri sudah membuat keputusan untuk menolak,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, media melaporkan, pembangkang membuat ketetapan menolak Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama.
Menurutnya, alasan berkenaan adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, beliau dipertanggungjawabkan untuk berunding sahaja mengenai penyaluran peruntukan.
“Tugas saya adalah untuk berunding, kalau tidak mahu berunding maka saya tidak boleh nak berbuat apa-apa,” katanya. – UTUSAN