Perubatan Islam perlu ikhlas, simpan aib orang – Ashraf Muslim - Utusan Malaysia

Perubatan Islam perlu ikhlas, simpan aib orang – Ashraf Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya tidak berminat.”

Demikian penegasan pelakon dan usahawan, Ashraf Muslim, ketika ditanya mengapa dia tidak mempunyai platform khas berkongsi tentang ilmu perubatan Islam di aplikasi TikTok.

Nama Ashraf sebagai pengamal perubatan Islam kembali menjadi sebutan apabila beberapa artis menyebut kemampuan pelakon itu membantu mereka ketika berhadapan gangguan mistik kembali tular di media sosial.

Ilmu perubatan Islam yang dimiliki Ashraf atau Muhd Ashraf Muslim, 43, sudah lama dipelajari bahkan dia juga pernah bertugas di sebuah pusat perubatan Islam secara profesional 11 tahun lalu.

Baginya, tidak semua orang boleh menggalas tanggungjawab mengamalkan ilmu tersebut. Seseorang itu perlulah ikhlas agar tidak tersalah niat dalam membantu orang lain.

“Kadang-kadang pendapat orang berbeza, saya tidak berminat sangat dengan kandungan media sosial seperti itu (rawatan Islam).

“Siapa yang mengenali saya dan mahu minta tolong, saya akan usahakan bantu.

“Dalam perubatan ini, kena orang yang ikhlas, nanti bila kita terlalu sangat berkongsi di media sosial, datang pula yang tidak ikhlas.

“Jadi sebab itu, saya tidak mahu buat sebarang perkongsian (TikTok),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bukan itu sahaja, pelakon Bukan Cinta Malaikat itu juga menegaskan tidak akan membuka cerita mengenai situasi atau kisah yang dilalui pesakitnya sebelum ini.

“Jika ada yang bertanya, saya hanya akan bercakap tentang ilmu agar mereka faham.

“Tapi kalau mahu bercakap pengalaman seram yang dilalui mereka yang pernah minta tolong kepada saya, saya tidak akan cerita.

“Saya anggap ia privasi. Sama juga doktor yang kena rahsiakan penyakit pesakit mereka.

“Tapi kalau pesakit itu mahu ceritakan pengalaman mereka, itu terpulang,”tambahnya.

Namun begitu, Ashraf enggan pendapatnya menimbulkan salah faham. Dia bagaimanapun tidak bermaksud menghalang mana-mana pihak untuk melakukan perkongsian ilmu perubatan di media sosial.

“Orang cakap, bila kita buat perubatan Islam, ada keistimewaannya.

“Tapi tidak semua orang ada keistimewaan itu. Jadi benda-benda macam tu saya risau akan ada kesan yang negatif membuatkan niat asal untuk memberi manfaat orang lain akan terpesong,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain Ashraf kini sibuk memberi fokus kepada perniagaan pengurusan majlis menyebabkannya menolak beberapa tawaran lakonan.

“Kalau mengenali saya, saya suka fokus apabila melakukan sesuatu perkara. Dalam perniagaan begitu juga, ia memerlukan proses.

“Nanti bila semuanya sudah boleh bergerak sendiri, saya akan kembali berlakon kerana itu memang minat saya.

“Cuma sekarang saya perlahankan kerjaya lakonan untuk perniagaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya