PETALING JAYA: Jepun menyokong penuh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta hasrat Putrajaya untuk meneruskan Dasar Pandang Ke Timur khususnya dalam bidang pendidikan dan pemindahan teknologi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pada mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Jepun iaitu Shigeru Ishiba, mereka turut menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara meliputi pelbagai bidang antaranya perdagangan, peralihan tenaga, pertahanan dan keselamatan, maritim, pendidikan serta budaya.
“Kami berdua dapat menilai langkah-langkah yang telah diambil untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang-bidang utama ini dan meneroka peluang kerjasama lebih lanjut di masa depan
“Kami juga membincangkan isu serantau berkaitan Laut China Selatan dan situasi di Myanmar,” katanya selepas mesyuarat yang berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima, Peru.
Anwar berkata, Malaysia memberi keutamaan kepada hubungannya dengan Jepun dan menzahirkan rasa syukur kerana sejak Ishiba menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengambil pendirian yang amat positif dari segi mempromosikan hubungan dua hala dengan Malaysia.
Kata beliau, Jepun merupakan antara negara terawal yang menyokong kemajuan perindustrian Malaysia dan beliau berhasrat untuk meneruskan kerjasama dalam bidang itu.
“Sebaik sahaja mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi ASEAN, kami sudah pasti akan memperkukuh hubungan dengan pihak anda,” katanya.
Malaysia akan mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut mengundang Ishiba untuk mengadakan lawatan ke Malaysia dengan secepat mungkin.
“Saya berharap hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun terus diperkasa sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan serta potensi ekonomi negara,” katanya.
Jepun adalah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut dengan nilai dagangan antara kedua-dua negara ialah sebanyak RM156.64 bilion (AS$34.39 bilion) pada 2023.
Setakat 2023, sebanyak 2,810 projek telah dilaksanakan oleh syarikat Jepun di Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (AS$29.67 bilion). – UTUSAN