Lebih 30 tahun memahat jenama dalam industri hiburan merupakan anugerah yang cukup bernilai bagi sebuah kumpulan muzik yang mampu bertahan. Namun di mata peminat mungkin dilihat mudah, hakikatnya segala ranjau dan rintangan adakalanya terpaksa ditelan demi meneruskan perjuangan yang masih tersisa.
Kumpulan Cromok adalah contoh terdekat yang dilihat masih kekal sehingga kini. Walaupun aliran muzik yang dibawa hanya diminati segelintir kelompok tertentu, namun keazaman dan kerja keras mereka yang sentiasa utuh bersama merupakan antara kekuatan penting untuk meneruskan legasi sehingga kini.
Setelah 36 tahun penubuhan, Cromok bakal mengadakan sebuah persembahan ikonik di pentas Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember ini. Bukan sekadar konsert biasa, tetapi pastinya tercipta momen bersejarah apabila dua gitaris legenda tanah air, Man Keedal dan Hillary Ang turut beraksi pada malam tersebut.
Pastinya ada peminat tertanya tentang kewujudan dua sosok sohor ini, apatah lagi keduanya lebih dikenali dalam memperjuangkan irama muzik rock yang menjadi tunjang karier mereka sebelum ini. Namun sejarah tidak boleh dipadam, Man Keedal dan Hillary pernah menjadi sebahagian daripada sejarah perjalanan seni Cromok yang tidak pernah dicanang.
Peneraju Cromok, Karl, menyatakan ia adalah satu malam bersejarah yang akan membawa penonton menelusuri perjalanan seni mereka ketika mencipta fenomena menerusi album sulung, Image of Purity yang dirilis pada 1991 sehingga kini.
Persembahan ini juga sememangnya telah lama dinantikan, terutamanya penampilan Hillary yang pernah menggantikannya dan sempat merakamkan empat album studio bersama Cromok, seawal album Mean, Meaner Meanest yang dirilis pada 1999.
“Ibarat sirih pulang ke gagang, kembalinya Hillary selepas 24 tahun untuk Konsert The Real Cromok pastinya dapat mengubat kerinduan peminat, apatah lagi berpeluang bergabung atas satu pentas.
“Selain Hillary, penampilan pertama kali Man Keedal juga adalah sesuatu yang istimewa kerana dia langsung tidak pernah berkongsi pentas bersama Cromok walaupun pernah merakamkan track gitar solo untuk lagu Misery bagi album Forever in Time pada 1993,” katanya.
Selain Karl atau nama sebenarnya, Khairul Anuar Shariff, perjuangan band ini diteruskan bersama seorang lagi anggota yang cukup aktif iaitu pemain bass, Shamsudin Ali atau lebih dikenali sebagai Sam.
Sam antara individu yang bertanggungjawab meneroka serta mencipta pelbagai elemen dalam penghasilan karya Cromok, malah berjaya menggabungkan muzik tradisional dan heavy metal sehingga terlahirnya terma thrashditional.
Selain itu, Sam adalah salah seorang pengasas awal kumpulan ini bersama pemain dram, Allahyarham Tarmizi Mokhtar atau Miji yang meninggal dunia pada Mac lalu serta Allahyarham Muhammad Khairuddin atau Din yang terlebih dahulu keluar daripada Cromok sebelum meninggal dunia pada 1997.
Menyifatkan konsert ini bakal membawa banyak kejutan, Karl berkata, “Gandingan rare The Real Cromok ini signifikan bagi perjalanan Cromok yang ditubuhkan di Australia, semasa kesemua mereka masih bergelar penuntut di University of Wollongong, New South Wales.
“Ini adalah organility Cromok yang sebenar. Cuba bayangkan empat pemain gitar bermain bersama di atas satu pentas, jelas ini bukan konsert biasa, tapi penuh dengan kejutan. Apa saja kemungkinan boleh berlaku, tapi percayalah The Real Cromok akan melakar sejarahnya yang tersendiri.
“Selain itu, ada segmen khas dirancang sebagai tribute bagi mengenang Allahyarham Miji dan Din. Konsert ini akan memutar balik masa membawa penonton menyelami kembara 36 tahun Cromok yang bermula di sirkit underground Australia. Justeru, pertemuan ini harus diraikan,” katanya yang turut mengumumkan tiga gitar tajaan Cort Guitars daripada The Guitar Store, lengkap ditandatangani empat gitaris legenda sebagai cabutan bertuah untuk pembeli tiket.
Sambil membawa penonton menyingkap perjalanan mereka dalam persembahan yang berdurasi selama dua jam itu, Karl yang menyertai Cromok semula pada 2012 berkata, ada lagu baharu yang akan diperdengarkan selepas album studio terakhir mereka, Untitled pada 2004.
Bahkan sebagai tambahan, tidak kurang 18 judul lagu yang dipersiapkan untuk konsert pada malam itu termasuk lagu-lagu baharu yang pertama kalinya akan diperdengarkan kepada penonton.
Selain merupakan penampilan pertama band thrash heavy metal ini beraksi bersama dua gitaris legenda, Karl turut menyifatkan malam tersebut bakal mencipta sejarah tersendiri apabila peminat bakal disajikan dengan pelbagai kejutan elemen yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini.
Selain Karl, The Real Cromok turut dibarisi oleh Cropox (dram), Shah Sidious (gitar) dan Archer (keyboard).
Disokong oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd, konsert ini turut mendapat penajaan dari rakan strategik antaranya, Sudoku Drums & Keyboards, JL Guitars, The Guitar Store, Cort Guitars, NEO In-Ear Monitors, HOT Kambing dan Gama Rock House, Mewah Event Management, Karl Legacy dan MyArteezPembelian tiket boleh dibuat menerusi www.therealcromok.com atau hubungi hotline +601113297822.