KUALA LUMPUR: Pertama kali membawakan karakter wanita dewasa, pelakon, Puteri Balqis, 17, melakukan kajian menyeluruh sebelum memasuki set penggambaran.
Menurut Balqis atau Puteri Balqis Azizi, demi menghidupkan watak wanita bernama Amylia dia telah meneliti cara penampilan, perangai dan juga tabiat yang sering dilakukan wanita dewasa.
“Kita dipanggil ‘pelakon’ bersebab, iaitu kita boleh cipta sesebuah karakter itu. Jika kita boleh berlakon watak orang psycho atau penyedih, mengapa kita tidak boleh berlakon sebagai orang dewasa.
“Saya banyak buat kajian daripada cara berjalan, sikap, tabiat dan juga penampilan orang dewasa. Tambahan pula, watak Amylia sangat dengan dengan diri saya. Dia seorang penulis dan banyak melalui hidup sendirian.
“Ketika mengkaji watak ini, saya rasa seperti sedang mengkaji diri sendiri,” katanya.
Balqis yang mesra disapa sebagai Aqish ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran drama Sebelum Titik Noktah, di Bangsar, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dia juga gembira dapat bekerjasama dengan Aiman Hakim Ridza buat pertama kali selain menyifatkan pelakon itu mempunyai aura tersendiri.
“Awalnya saya fikir akan berlakon sebagai adik beradik dengan Aiman, rupanya kami sepasang kekasih. Kami tidak bercakap di set penggambaran, saya pula seorang ‘introvert’.
“Namun apabila kamera sudah ‘rolling’ barulah kami akan beraksi. Aiman ada wajah yang mempunyai karakter tersendiri, segala keserasian saya terus dapat semasa berlakon. Bagi saya, sukar untuk dapatkan keserasian sebegitu,” jelasnya yang tidak pernah mengikat diri untuk membawa watak dewasa semata-mata.
Dalam perkembangan lain, Aqish bakal muncul dalam drama Sebelum Titik Noktah. Ia merupakan merupakan naskhah bergenre fiksyen dan thriller dan ditayangkan bermula 11 November, setiap Isnin, jam 11 malam menerusi Saluran 120 di Unifi TV.
Drama terbabit turut dibintangi Aiman Hakim Ridza, Noki, Danny , Shabby, Mathni Razak, Alif Muhaimin, dan ramai lagi. -UTUSAN