KUALA LUMPUR: Seabad menyemai impak positif menerusi pemerkasaan ekonomi dan keterangkuman kewangan, syarikat perbankan, CIMB Bank berjaya melakar kenangan indah sempena ulang tahun ke-100 di Konsert Kita Bagi Jadi, pada Ahad lalu.
Menampilkan persembahan bertenaga daripada 100 artis selama 100 minit, konsert yang menggamatkan Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu turut memberi seribu kemanisan buat penonton.
Konsert ‘intimate’ itu telah dihangatkan dengan persembahan pembukaan daripada 54 pemuzik daripada Orkestra Muda Filharmonik Malaysia (MPYO) dengan bimbingan konduktor orkestra, Ahmad Muriz Che Rose.
Menurut Novan Amirudin selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, selain ingin menonjolkan bakat pemain muzik tempatan, konsert itu diadakan untuk meraikan kejayaan dan suka duka syarikat perbankan tersebut selama 100 tahun.
“100 tahun, 100 penghibur selama 100 minit. Pengalaman ini bukan hanya sekadar sebuah konsert. Konsert ini diadakan untuk meraikan pelbagai pengalaman, cabaran dan dugaan serta kejayaan kami. Saya berharap penonton yang hadir terhibur,” katanya.
Dalam pada itu, konsert yang mengangkat tema muzikal dengan penceritaan visual tersebut turut menyaksikan persembahan penyanyi, Dayang Nurfaizah yang menyanyikan lagu Puteri Santubong serta Tanah Pusaka dan Umpan Jinak Di Air Tenang.
Tidak menunggu lama, acara itu juga menyaksikan penyanyi, Jaclyn Victor menyanyikan lagu Seribu Impian, Gemilang diikuti medley Warna dan Sinaran nyanyian bersama Scha Nuril dan Aina Abdul.
Turut memeriahkan suasana, majlis itu turut menampilkan persembahan bersahaja Hael Husaini yang mendendangkan lagu Horee Horee, Luar Biasa dan Money Money Money.
Bukan itu sahaja, Azlan dari kumpulan Typewriter turut menyanyikan lagu Bangkit Semangatku bersama Scha Nuril serta medley Laguku Untukmu dan Jangan Khianati.
Lebih menarik lagi, penyanyi, Aina Abdul turut berkongsi pentas bersama penyanyi tersohor Indonesia, Cakra Khan menerusi nyanyian lagu You Raise Me Up dan Terus Hidup.
Cakra Khan selaku artis jemputan turut memeriahkan majlis korporat itu dengan menyanyikan lagu I’m Still Standing dan Nothing’s Gonna Stop Us Now.
Sementara itu, penyanyi lagenda, Datuk Zainal Abidin turut menyanyikan lagu Senang-Senang, Orak Arek dan Hijau sebagai pelengkap persembahannya.
Acara itu juga turut disempurnakan dengan persembahan muzikal daripada pelakon, Nadia Aqilah serta Tony Eusoff dan pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang berkongsi pengalaman indah mereka bersama CIMB.