Pernah bernyanyi di kafe sebelum popular - Utusan Malaysia

Pernah bernyanyi di kafe sebelum popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘SAYA suka bernyanyi, tapi tidak pernah membayangkan menjadi artis yang dikenal banyak orang.’

Dengan senyuman tidak lekang, penyanyi besar Indonesia, Raisa Andriana, menceritakan momen hidupnya dengan riang. Ketika umurnya tiga tahun, dia sudah pun berpura-pura kononnya sedang bernyanyi di atas panggung.

Namun siapalah yang boleh membaca takdir dan menyangka, kanak-kanak berumur tiga tahun tersebut benar-benar mengadakan konsert terbesarnya di Stadium Utama Gelora Bung Karno Jakarta, tiga dekad selepas itu.

Kini, anak kelahiran Jakarta itu sudah 14 tahun bergelar penyanyi solo. Menariknya, Raisa yang mula mencuri perhatian ketika kemunculannya di Java Jazz Festival pada 2011 dengan lagu Serba

Salah tidak pernah merasakan perjalanannya bergelar anak seni berjalan sangat panjang.

“Sepanjang 14 tahun ini hidup saya banyak dipenuhi momen yang tersendiri. Setiap tahun ada sahaja perkara paling membahagiakan dan seronok diingati. Perjalanan ini tidak terasa panjang sama sekali.

“Sehinggakan walaupun saya sudah di puncak kerjaya, saya sendiri tidak tahu apakah perkataan yang tepat mengungkapkan perjalanan 14 tahun ini. Mungkin kerana pada awalnya saya tidak pernah menyangka hidup akan jadi seperti ini.

“Semuanya terjadi sangat cepat. Selepas itu, saya juga bingung mahu lakukan apalagi ya,” katanya eksklusif kepada Pancaindera.

Walaupun sudah beberapa kali bertemu barisan penyanyi nama besar negara seberang, ibu kepada seorang anak ini begitu istimewa dengan karakter yang bukan sahaja periang, malah begitu merendah hati.

Dia tidak pernah berlagak diva bahkan ada suatu ketika, Raisa diminta membuat persembahan tiba-tiba tanpa diberitahu oleh pihak penganjur. Tekaknya kering dan dia berjalan sendiri ke belakang, menuangkan air dari meja buffet, minum sebelum kembali ke pentas dan bernyanyi.

“Tidak perlu susah-susah ya, saya sudah biasa melakukan semuanya sendiri,” katanya ketika itu membuatkan semua orang tergamam.

MULA DARI BAWAH, NYANYI DI KAFE 

Menurut Raisa yang menjadi antara selebriti dengan jumlah pengikut paling ramai di Indonesia iaitu melebihi 37 juta, populariti bukanlah perkara yang terjadi semalaman.

Oleh itu, dia terselamat daripada menjadi mangsa ‘kejutan budaya’ menyebabkan seseorang itu tergamak mencipta kontroversi murahan demi populariti.

“Saya bersyukur kerana semua ini tidak terjadi dengan segera jika mahu dibandingkan zaman kini di mana semuanya mudah menjadi tular. Mereka boleh dikenali dalam tempoh satu malam sahaja.

“Saya melalui proses konvensional iaitu menghantar cakera padat rakaman ke radio juga membuat persembahan di panggung kecil.

“Kalau kamu mahu tahu, semasa saya belajar di Jakarta. Saya juga akan bernyanyi di kafeteria setiap Khamis. Jadi, saya sudah beradaptasi dengan populariti ini perlahan-lahan.

“Kerana pengalaman lalu, saya terasa seperti mempunyai bekalan untuk menempuh apapun masalah dan populariti yang adakalanya boleh dianggap seperti ujian,” jelasnya.

UCAPKAN SELAMAT TINGGAL ZAMAN GADISKU

Pemenang trofi Komposer Terbaik Tahunan Mnet Asian Music Award 2017 ini mengakhiri zaman solonya pada usia 27 tahun dengan seorang pelakon yang juga arkitek, Hamish Daud.

Tahun ini, Raisa berusia 34 tahun dan anaknya Zalina Raine Wyllie berusia lima tahun. Penyanyi itu kembali mencuri tumpuan apabila menerbitkan dua lagu di tahun yang sama iaitu The Girl That I Used To Be dan Si Paling Mahir.

Tidak hanya menunjukkan sisi kematangannya dalam muzik malah lirik yang tercoret seolah-olah ‘menelanjangkan’ perasaan yang diselindungnya selama ini tentang transisi daripada gadis kepada seorang wanita.

“Entah kenapa masyarakat kita sangat memberi tekanan jika memasuki usia 30 tahun terutama buat perempuan. Sedangkan kalau kita hidup 70 tahun, angka 30 itu belum pun separuh daripada usia itu.

“Saya secara peribadi ketika fasa 30-an turut tertanya-tanya apa yang menunggu saya di kemudian hari? Rupanya semuanya sama sahaja. Cuma kini saya lebih mengenal diri sendiri dan tahu meletakkan batas.

“Namun perkara menarik yang saya fikirkan adalah bagaimana mahu melepaskan zaman gadis kita dan menjadi wanita,” katanya yang berhenti seketika mengambil nafas.

Bukan mengeluh dibebani tanggungjawab jauh sekali menyesali keputusan menjadi seorang ibu, Raisa hanya mahu mengungkapkan kerinduan di zaman ‘gadis’ melalui lagunya menerusi lirik ‘bukan bermakna aku benci, tapi aku berharap mempunyai peluang mengucapkan selamat tinggal kepada gadis yang pernah aku jadi’

“Katakanlah kita bercinta, jika kita tahu itu malam terakhir, mesti kita akan pegang tangan lebih lama dan pakai baju paling cantik sebab tidak akan berjumpa lagi.

“Namun bagi perempuan, kita tidak tahu bilakah masanya kita kena melepaskan zaman menjadi girl kepada woman. Kalau kita tahu bila hari terakhir, sudah pasti kita akan lebih hargai banyak perkara.

“Kadangkala kita rindu hal seperti boleh tidur selewat mana yang kita mahu, tiada orang yang bergantung kepada kita dan boleh lakukan apa sahaja,” katanya.
Sebelum mengakhiri temu ramah, Raisa ingin semua wanita tidak berasa terbeban atau serba salah setiap kali terkenang masa remaja mereka.

“Ketika kita teringat masa lalu, ramai perempuan akan salah faham dan mula rasa serba salah memikirkannya.

“Saya mahu tekankan, jika kita terkenang zaman masih solo, itu bukan bermakna kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada hari ini. Cuma, sekadar perasaan bahawa boleh sekiranya kita berasa rindu sesekali, ” katanya menutup temu ramah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya