IPOH: Penerimaan ahli akar umbi Barisan Nasional (BN) terhadap kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) perlukan masa walaupun sudah genap dua tahun kedua-dua parti itu membentuk kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, lebih banyak gerak kerja perlu dilakukan supaya kerjasama yang lebih tersusun dapat diwujudkan di peringkat akar umbi.
“Dalam bentuk kerjasama yang baharu tentunya ia perlukan sedikit masa. Tetapi apa yang diperlukan adalah komitmen yang berterusan.
“Usaha ini melibatkan di kesemua negeri. Perkembangan yang saya lihat agak positif, tetapi apa yang perlu kita lakukan ialah kita kena menambahkan lagi gerak kerja bagi memastikan kerjasama tersusun peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Konvensyen BN Negeri Perak 2024 di sini hari ini yang turut Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Kedua-dua BN dan PH merupakan seterus politik sekian lama yang mula menjalin kerjasama buat kali pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dipimpin oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zambry yang juga bekas Menteri Besar Perak melihat kerjasama BN-PH melalui kerajaan Perpaduan Perak sangat baik, namun mengharapkan lebih banyak aktiviti di peringkat akar umbi sehingga pilihan raya akan datang.
Semasa menyampaikan ucapan perasmian penutupan, Zambry berkata laluan berliku BN dalam kancah politik negara bukan baharu seperti kehilangan dua pertiga kerusi Parlimen pada 2008 termasuk kecundang di negeri Perak.
Konvensyen BN Perak 2024 yang diadakan sehari telah dirasmikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dihadiri lebih 3,000 ahli BN. – UTUSAN