KANGAR: Perlis mempunyai potensi ekonomi dalam pelbagai sektor susulan kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan kawasan sempadan negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau secara peribadi berpendapat walaupun Perlis merupakan sebuah negeri kecil, namun masih terdapat banyak kawasan dan tanah yang belum diteroka, di sini, di samping kedudukan geografinya juga terletak di lokasi paling banyak menerima cahaya matahari di Malaysia.
Beliau berkata, selain itu, Perlis juga berupaya menjadi sebuah pusat pengembangan industri luar dari kawasan Pulau Pinang.
“Perlis disarankan untuk mengenal pasti kekuatan dan keunikan yang dimiliki termasuk daripada segi demografi penduduk, sumber semula jadi, ketersediaan modal insan dan warisan kebudayaan bagi diberikan fokus utama dalam usaha untuk terus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan,” katanya pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 (SLU RMK13) di Dewan 2020, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, dari sudut ekonomi, Perlis telah mencatatkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada RM6.3 billion pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 2.1 peratus berbanding RM6.2 bilion pada tahun sebelumnya.
“Perlis merupakan salah satu negeri yang akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan malah dalam tempoh RMK12, negeri ini telah diperuntukkan sebanyak RM2.87 bilion.
“Manakala di bawah Rolling Plan 5 (2025) RMK12, negeri Perlis telah pun diperuntukkan sejumlah RM643.06 juta bagi melaksanakan sebanyak 45 projek baharu dan 129 projek sambungan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, usaha kerajaan negeri dalam agenda pembangunan negeri di bawah RMK12 memberi fokus kepada nod-nod pembangunan utama iaitu di Padang Besar, Kangar, Kuala Perlis dan Sanglang serta projek-projek sokongan yang akan melengkapkan ekosistem tersebut.
Katanya, setiap asas pembangunan yang dirancang telah mengambil kira dasar-dasar sedia ada yang akan memberi manfaat dan impak positif kepada ekonomi negeri serta pendapatan rakyat.
“Dalam memastikan setiap agenda pembangunan yang dirancang selari dengan dasar-dasar sedia peringkat nasional, kerajaan negeri juga kini sedang dalam usaha menyediakan Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040 (Kajian Semula).
“Kajian ini sedang giat dilaksanakan oleh pihak Pejabat Pembangunan Zon Utara (PPZU) dengan kerjasama PLANMalaysia@Perlis dalam melihat dan menilai semula kriteria-kriteria pembangunan serta Dasar Perancangan Strategik bagi negeri ini dalam masa 15 tahun akan datang,” katanya.-UTUSAN