Perkenal mekanisme baharu kawal minyak masak peket

Perkenal mekanisme baharu kawal minyak masak peket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa memperkenalkan mekanisme kawalan pembelian yang lebih kukuh untuk minyak masak peket bersubsidi bagi memastikan pemberian subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, tiada mekanisme kukuh pada masa ini yang mampu mengawal pembelian minyak masak peket bersubsidi, seperti keperluan menunjukkan kad pengenalan atau menggunakan kad khas untuk golongan yang layak. 

Katanya, kerajaan perlu memperkenal mekanisme yang lebih jelas dan berkesan bagi memastikan hanya golongan tersebut dapat membeli minyak masak bersubsidi.

“Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memperkenal alat baharu untuk mengukur Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bagi setiap keluarga berdasarkan daerah atau negeri tempat tinggal mereka.

“Alat seperti ini mungkin dapat membantu kerajaan menyalurkan bantuan subsidi, termasuk minyak masak paket bersubsidi, secara lebih bersasar kepada rakyat yang benar-benar memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar melaporkan kerajaan melakukan operasi besar-besaran bagi membanteras aktiviti penyelewengan minyak masak peket bersubsidi supaya kegiatan itu tidak terus berleluasa.

Mengulas lanjut, Asyikin berkata, minyak peket bersubsidi dijual secara terbuka dan tiada larangan untuk warga asing membelinya.

“Adalah tidak adil untuk menyalahkan mana-mana pihak kerana sesiapa sahaja boleh beli melainkan jual beli melalui pasaran gelap yang jelas menyalahi undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, penyalahgunaan subsidi minyak masak peket oleh warga asing  menyebabkan kekurangan bekalan dan kerugian besar kepada subsidi negara. 

Katanya, walaupun tiada larangan terhadap pembelian oleh warga asing, subsidi adalah hak eksklusif yang diperuntukkan khusus untuk rakyat memerlukannya.

“Ketirisan subsidi akibat penyalahgunaan ini mengakibatkan minyak masak peket sering tiada di pasaran dan seterusnya menjejaskan golongan sasaran.

“Situasi ini bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga membebankan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya