Perjuangan tiga dekad Candy - Utusan Malaysia

Perjuangan tiga dekad Candy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMUNCULAN kumpulan Candy pada era 90-an menggegarkan persada muzik tempatan yang ketika itu, genre muzik Rock didominasi kumpulan lelaki. 

Mempertaruhkan anggota yang kesemuanya wanita, kehadiran kumpulan berasal dari Kuching, Sarawak ini meninggalkan impak yang besar terhadap dunia seni tanah air pada ketika itu. 

Penubuhan kumpulan ini yang awalnya dinamakan The Sapphire Gals sebenarnya bertitik tolak pada 1988 dengan barisan pemuzik wanita berkemahiran antaranya Mary Morss (gitar), Connie Sangid (dram), Magdalene Julita Tom (bass), Veronica Ng (vokal) dan Marilyn Ryne (vokal). 

Formasi awal kumpulan ini turut disertai seorang pemain keyboard lelaki, Rodney Hughens. 

Pada 1989, formasi berubah apabila Rodney, Marilyn dan Veronica meninggalkan kumpulan itu dengan posisi vokalis digantikan pula Meggry Graggory. 

Nama kumpulan itu dijenamakan semula sebagai D’ Rozza pada 1990 dengan kamasukan pemain keyboard, Yolanda Entika. 

Terus bertukar ahli, Magdalene pula membuat keputusan untuk membawa haluan sendiri sebelum tempatnya digantikan kakak kepada Meggry iaitu Nancy. Kumpulan ini menyaksikan sekali lagi penambahan keahlian apabila penyanyi, Mazleela diserap selaku pemain gitar. 

Nama kumpulan ditukar lagi selepas itu menjadi G- Saphia. Tidak lama selepas itu, giliran Meggry pula meninggalkan kumpulan tersebut dan tempatnya digantikan Patricia Roberts atau Pat.

AHLI BERTUKAR GANTI

TAHUN 1994 pula menyaksikan Mazleela pula meninggalkan G-Saphia untuk meneruskan kerjaya solo di Kuala Lumpur. 

Fasa bertukar keanggotaan itu berlaku sebelum kumpulan ini akhirnya ditetapkan dengan nama Candy. Menurut Nancy, anggota Candy pada asalnya merupakan anak-anak polis yang berkongsi minat dalam bidang muzik. 

Katanya sejak dahulu lagi, mereka sering ditawarkan membuat persembahan lebih-lebih lagi untuk majlis yang dianjurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Waktu itu, kami masih mentah dan berlumba-lumba menimba pengalaman. Kami penuhi apa sahaja tawaran membuat persembahan yang diberikan. Dalam mencari pengalaman dapat juga kami mengumpul duit poket dengan bayaran antara RM100 hingga RM300 seorang. 

“Pengurus kami di Kuching waktu itu dihubungi rakannya di Kuala Lumpur yang sedang mencari kumpulan rock wanita untuk diketengahkan. Individu tersebut, yang kemudian menguruskan perjalanan band ini, sanggup terbang ke Sarawak untuk melihat persembahan kami. Dia pulang ke Kuala Lumpur dengan membawa demo lagu yang kami rakamkan,” kongsi Nancy. 

Katanya lagi, Candy mengambil masa bertahun-tahun sebelum terbang ke Kuala Lumpur untuk merakamkan album pertama mereka pada 1996. 

“Laluan kami untuk memecah masuk pasaran lebih besar tidaklah mudah. Pelbagai penolakan yang kami terima. Banyak syarikat rakaman yang enggan menaungi kami hanya disebabkan kami kumpulan wanita. 

“Disebabkan ahli kami semuanya wanita, banyak syarikat rakaman enggan mengambil risiko kerana mereka khuatir Candy tidak kekal lama. 

“Tapi akhirnya Life Records melihat potensi kami dan bersetuju untuk menaungi kumpulan ini,” kongsinya.

PENGORBANAN

PENGHIJRAHAN Pat, Nancy, Mary dan Connie ke Kuala Lumpur (KL) untuk mencipta nama bukan keputusan mudah untuk mereka ambil. 

Berjauhan dengan keluarga antara keputusan yang paling berat untuk mereka ambil. Pada masa sama timbul rasa gerun apabila buat pertama kalinya terpaksa berpindah ke tanah yang asing. 

“Banyak perkara yang perlu kami pertimbangkan waktu itu. Saya terpaksa tinggalkan anak dan keluarga, selain Nancy yang terpaksa melepaskan cita-cita untuk menjadi anggota polis. 

“Begitu juga dua ahli lain, yang terpaksa juga tinggalkan keluarga masing-masing. Memanglah berat perasaan waktu itu, tapi kami fikir, peluang hanya datang sekali. 

“Sebab itu, kami tidak sia-siakan peluang yang diberikan dan kerja dengan bersungguh-sungguh selepas berpindah ke KL,” kata Pat. 

Kongsi Pat lagi, dalam tempoh menghasilkan album pertama di KL pada 1996, mereka, yang ketika berdepan cabaran hidup disebabkan pekerjaan dan punca pendapatan. 

Hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kesemua anggota Candy terpaksa mencatu makan dan cukup-cukup makan untuk bertahan. 

“Hidup waktu itu memang sukar. Kami datang ke KL untuk rakam lagu, siapkan album pertama. Waktu itu belum terima pendapatan, manakala show pun tak ada disebabkan kami tidak ada lagu untuk dipersembahkan. 

“Tapi kami agak bernasib baik kerana pengurus kami waktu itu ada menghulurkan sedikit wang untuk kami bertahan. 

“Pernah satu masa pengurus terpaksa pulang ke Singapura dan terlupa tinggalkan wang untuk kami. Waktu itu kami tak ada duit untuk beli makanan, terpaksa guna lebihan tepung yang ada di rumah untuk dijadikan lempeng buat isi perut, selain ikan masin yang kami jadikan santapan. 

“Kewangan kami agak tidak menentu, sehinggalah album disiapkan. Barulah selepas itu kami terima undangan untuk membuat persembahan,” ceritanya.

AKAN KU TUNGGU

Sekelip mata nama kumpulan Candy meledak selepas album sulung mereka, Candy dipasarkan pada 1997. Lagu Akan Ku Tunggu ciptaan Edrie Hashim dan Jijie berjaya ‘membeli jiwa’ pendengar sekali gus menaikkan nama kumpulan itu dalam arena hiburan tanah air. 

Bagai rezeki terpijak, lagu berhantu itu juga mendatangkan banyak tawaran persembahan selain rancak diputarkan di radio. Akan Ku Tunggu menyimpan ceritanya sendiri. 

Kata Nancy, lagu tersebut, yang menjadi asbab mereka dikenali, hampir tidak diketengahkan atas permintaan syarikat rakaman. 

“Kalau diikutkan, syarikat rakaman Life Records tidak memilih lagu itu untuk dipopularkan. Namun Edrie dan Jijie, serta kami berkeras mahu lagu itu diangkat. Akhirnya syarikat rakaman turuti permintaan kami.

“Telahan kami benar, lagu itu ‘menjadi’ dan berjaya menambat hati pendengar. Popularitinya meledak, peminat tak henti-henti meminta lagu itu dimainkan di radio,” kata Pat. 

Menjadi satu kejutan budaya buat kumpulan Candy apabila nama mereka tiba-tiba menjadi sohor dalam sekelip mata. Kata Nancy, mereka tidak sedikit pun merasakan diri popular meskipun rancak diperkatakan pada era kegemilanhan mereka dahulu. 

“Memanglah dulu, pernah kami diekori peminat, dikejar ketika berada di tempat awam dan diajak bergambar bersama oleh peminat yang mengenali kami. 

“Dan lebih membanggakan apabila ada peminat yang datang menonton persembahan kami, ikuti fesyen rambut dan gaya berpakaian yang kami ketengahkan. Perkara itu membuatkan kami cukup gembira. Tapi kami tidak pernah merasakan kami orang popular. Kami orangnya agak sederhana dan mengutamakan privasi masing-masing,” katanya. 

Pada kemuncak populariti mereka, Candy juga menjadi antara kumpulan Rock yang paling banyak menerima permintaan persembahan lebih lebih lagi di acara funfair. 

“Tawaran membuat persembahan cukup banyak, hampir setiap hari sampai tidak menang tangan. Pernah juga beberapa kali kami membuat dua persembahan dalam satu malam. Hanya Tuhan sahaja tahu betapa penatnya kami waktu itu. Sampaikan ada show yang terpaksa kami batalkan disebabkan sudah hilang kudrat. 

“Apa pun, kami anggap itu pengalaman yang menggembirakan kerana meskipun keletihan, kami gembira bermain muzik dan membuat persembahan,” ujar Pat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya