ALOR SETAR: Bekas pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mengakui setiap momen yang ditempuh sepanjang bersama pasukan Sang Kenari amat sukar dilupakan.
Mengakui sukar dengan keputusan dibuatnya, jurulatih berusia 46 tahun itu berkata, Kedah tetap berada dalam hatinya selain sudah menganggap warga KDA FC ibarat keluarganya sendiri.
“Berat untuk membuat keputusan namun saya memilih untuk tidak lagi bersama KDA FC. Perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC tempoh hari menjadi perlawanan terakhir saya selaku ketua jurulatih.
“Sudah tentu setiap keputusan yang dibuat akan memberi impak namun saya percaya akan ada pelangi selepas hujan dan pasukan akan terus melakar kejayaan selepas ini. Perjalanan yang sangat indah bersama keluarga KDA FC,” katanya.
Nafuzi berkata, paling dikaguminya adalah semangat dan komitmen para pemain dari padang latihan sehingga ke setiap perlawanan yang dihadapi
Ujarny, keerjasama yang ditunjukkan pemain pada setiap perlawanan amat membanggakan kerana mereka tidak berputus asa sehingga ke wisel penamat.
“Berjuanglah sejiwa murni dalam perlawanan akan datang. Kepada Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar terima kasih kerana memberi peluang melaksanakan tugas memacu kelab yang penuh bersejarah ini.
“Terima kasih juga kepada semua pegawai yang sentiasa memberi komitmen sangat tinggi buat pasukan di belakang tabir dan juga di padang latihan,” katanya.
Buat penyokong setia KDA FC, Nafuzi menyifatkan mereka antara penyokong yang hebat demi mempertahankan legasi Kedah Darul Aman dan turut mengharapkan para penyokong terus berada di belakang pasukan.
“Segala suka dan duka ditempuhi bersama demi memberi kejayaan kepada seluruh penyokong hijau kuning. Segala kenangan di sini sememangnya sukar untuk saya lupakan. Kelab ini sangat luar biasa.
“Akhir sekali, semoga pasukan KDA FC menjadi kelab yang berjaya suatu hari nanti. Kedah tetap berada dalam hati saya selama-lamanya,” katanya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin dalam satu kenyataan semalam mengesahkan menerima permohonan peletakan jawatan Nafuzi yang telah bersama pasukan sejak Disember 2022.
KDA FC turut mengumumkan Victor Andrag yang selama ini membantu Nafuzi untuk dilantik sebagai Ketua Jurulatih Interim Sang Kenari bermula hari ini. – UTUSAN