PETALING JAYA: Akta Tahanan Rumah perlu diteliti dan diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan teratur dan keselamatan masyarakat terjamin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, akta yang akan diperkenalkan ini adalah bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara.
Katanya, statistik terkini menunjukkan jumlah banduan adalah seramai 87,000 orang, namun kapasiti di penjara hanya mampu 74,000 orang.
“Ini adalah inisiatif Jabatan Penjara di mana akta ini diperkenalkan bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu sahaja.
“Terdapat juga cadangan banduan yang diberikan tahanan rumah akan dipakaikan alat peranti pengesan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Pada dasarnya, Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memahami masalah ini dan berharap cadangan ini perlu diteliti serta diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan teratur.
Malah, jelas beliau, yang penting sekali tentang kepentingan dan keselamatan serta ketenteraman masyarakat umum secara keseluruhannya terjamin.
“PDRM komited untuk memberikan kerjasama terutama dalam sesi libat urus bersama Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bag memastikan kepentingan semua pihak terutama masyarakat umum tetap terpelihara.
“Menteri Dalam Negeri juga ada memaklumkan rang undang-undang (RUU) berkaitan akta itu akan dibawa pada sidang Parlimen tahun depan,” katanya.
Media melaporkan pada 16 Disember lalu, banduan yang menjalani tahanan rumah akan dipakaikan dengan alat peranti pengesan sekiranya RUU akta baharu tahanan rumah yang dicadangkan diluluskan Parlimen.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata, pemakaian alat itu bertujuan mengesan kedudukan banduan yang sedang menjalani perintah di bawah akta terbabit.
Bagaimanapun, beliau dilapor berkata, RUU akta berkenaan hanya akan melibatkan pesalah yang berstatus tahanan reman dalam penjara dan tidak melibatkan pesalah yang terlibat jenayah berat seperti rogol atau dadah.
Selain itu, katanya, Kabinet juga telah memberikan keputusan dasar untuk memulakan RUU akta itu dan kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan di Parlimen. – UTUSAN