DILAMAR menjadi duta pelbagai produk, kesempatan konsert jelajah di beberapa negara, tawaran lakonan serta peluang membawa keluarga bercuti adalah rezeki berganda yang diterima selebriti berkaliber, Alif Satar.
Selain memanjat syukur kepada Allah, Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, 34, berkongsi salah satu pembuka pintu rezeki yang diamalkannya ialah berusaha semampu mungkin untuk membahagiakan isteri, Sha Dila Halid, 40.
“Semestinya saya hargai isteri saya. Semuanya kami usahakan bersama daripada sebelum kahwin yang mana kehidupan ketika itu tidak berjaya seperti sekarang. Sehingga kini, kami sudah mempunyai anak, banyak waktu susah senang yang kami lalui bersama.
“Saya percaya pintu rezeki saya adalah isteri selain anak-anak dan orang tua. Saya lakukan apa yang membahagiakan mereka. Sudah tentu caranya suami membahagiakan isteri ada banyak, seperti berikan makan yang cukup.
“Ada yang belikan bunga. Tapi kalau seminggu asyik beri bunga perkara itu sudah jadi biasa. Jadi, belikan emas insya-Allah isteri tidak akan mengomel,” katanya berseloroh.
Pelihara keluarga daripada penyakit ‘Ain’
Bagaimanapun, pengacara program Big Stage itu menyedari akan bahaya penyakit ain iaitu perasaan hasad dengki yang boleh menyebabkan mudarat boleh berlaku pada bila-bila masa.
Susulan itu, selepas pulang daripada bercuti di Switzerland baru-baru ini, isterinya, memilih untuk menyahaktifkan akaun Instagram kerana bimbang perkara tidak baik akan menimpa keluarganya.
“Pada mulanya, saya berasa sedih kerana selalunya bila berasa bosan di lokasi penggambaran, saya suka tengok gambar lama kami dan gambar anak di akaun IG isteri.
“Tapi sekarang saya berasa okay pula dengan tindakannya itu.
“Saya anggap ia perkara yang bagus kerana penyakit ain itu benar-benar berlaku dan media sosial juga lebih banyak mengundang perkara negatif jika tidak dikawal,” tambahnya ketika ditemui di majlis pelancaran Gold Bar dan Dinar di GB Gold, baru-baru ini.
Tidak hanya isteri, malah penyanyi Akhiri Penantianku ini juga mengambil keputusan untuk mengurangkan kekerapan memuat naik hantaran berdua bersama isteri di Instagram.
“Sebagai selebriti, pastinya saya kongsi mengenai kerjaya seni dan perkara yang bagus di IG dan komen serta maklum balas yang diberikan dari pengikut juga positif.
“Saya juga masih kongsi gambar bersama keluarga kerana peminat juga nak tengok tetapi lebih berpada-padalah kerana bukan semua perkara kita nak ceritakan di media sosial,” katanya.-UTUSAN