BUTTERWORTH: Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau bimbang perbelanjaan kerajaan akan terus bertambah, namun subsidi tidak sampai kepada golongan sasar sekiranya isu ‘subsidi bocor’ tidak ditangani segera.
Perdana Menteri berkata, dalam kajian dibuat di beberapa persidangan serta oleh pakar ekonomi antarabangsa, mereka mengakui Malaysia merupakan sebuah negara yang hasil kutipan cukainya paling rendah tetapi pemberian subsidi antara paling tinggi di Asia.
“Betul, baik beritanya, subsidi kita tertinggi, tetapi tanpa dibantu dengan angka dan data yang baik, kita dapati banyak juga subsidi bocor dan ketirisan mesti ditangani.
“Kalau tidak (ditangani) kita akan terus menambah perbelanjaan, tetapi ia (subsidi) tidak sampai kepada kumpulan sasar. Jadi, ini peranan yang sangat kritikal dan strategik harus dimainkan seterusnya oleh jabatan (Jabatan Perangkaan Malaysia),” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Jubli Intan 75 tahun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Pusat Konvensyen PICCA di sini, hari ini.
Menurut Anwar, jumlah bantuan pertanian, subsidi rakyat serta peruntukan bagi rakyat miskin di negara ini adalah dalam jumlah yang besar.
“Saya tentunya menunggu supaya perubahan-perubahan yang berlaku termasuk langkah-langkah baharu diperkenalkan untuk kita turun ke peringkat negeri dan daerah.
“Ini untuk kita dapatkan angka-angka seperti yang diusahakan oleh Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), ia akan membantu kita supaya tidak ada ketirisan, pertindihan dalam penyaluran kepada rakyat,” katanya.
Anwar menambah, semua perancangan, unjuran pertumbuhan, pelaburan serta kajian kemiskinan dan bantuan kepada rakyat memerlukan angka dan data.
“Maknanya nadi kehidupan rakyat dan negara itu bergantung kepada tahap kecekapan kita, integriti kita untuk menghasilkan data dan angka yang menyakinkan.
“Satu hal yang tidak boleh dipertikaikan di negara ini, walaupun ramai yang mempertikaikan institusi dan agensi tetapi DOSM telah meletakkan satu prestasi dan nilai serta integriti yang dihormati oleh semua rakyat.
“Ini amat membantu kerana apabila angka-angkanya diyakini, ia boleh membantu negara tumbuh untuk memacu pertumbuhan dan pengagihan yang lebih adil,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau turut menunggu rumusan Banci Pertanian 2024 yang akan dikeluarkan oleh DOSM.
”Rumusan Banci Pertanian 2024 ini akan membantu kita dalam merangka dasar pertanian yang boleh menjamin keterjaminan makanan.
”Ia juga dapat membantu kita mengetahui jumlah sebenar petani dan nelayan untuk kita tangani permasalahan mereka,” katanya. – UTUSAN