KANGAR: Peranan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di setiap universiti perlu ditingkatkan dengan memberi penekanan terhadap aspek disiplin di kampus.
Langkah tersebut susulan dakwaan isu disiplin dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang kini agak membimbangkan antaranya kejadian kes buli dan pengedaran dadah membabitkan penuntut universiti di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya tidak boleh membuat kesimpulan awal terhadap sebarang isu yang berlaku kerana penelitian terperinci perlu dibuat terlebih dahulu.
“Apa pun kita serahkan hal-hal berkaitan dengan jenayah tidak kiralah sama ada pelajar atau tidak kepada pihak berkuasa untuk diambil langkah undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Barisan Nasional (BN) Perlis 2024 di sini, hari ini.
Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas masalah disiplin dan kegiatan jenayah yang kerap membabitkan golongan pelajar universiti pada masa kini.
Khamis lalu empat pelajar sebuah IPT ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja dalam serbuan sebuah rumah di Seri Iskandar, Perak.
Selain itu, kes kejadian buli turut dilaporkan sebelum ini membabitkan pelajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihak universiti dan kementerian akan mengambil langkah segera agar kejadian-kejadian sebegitu tidak akan berulang selepas ini.
“Pelajar universiti terdedah kepada segala kemungkinan dan sebab itulah, sering kali kita tekankan aspek disiplin dalam kampus perlu dijaga.
“Bagi saya, kita tidak akan sama sekali biarkan perkara ini begitu saja dan tentunya laporan lengkap perlu diperkemaskan kepada kita supaya langkah susulan dapat diambil oleh universiti, selain daripada tindakan undang-undang sedia ada,” katanya. – UTUSAN