Perak tiada perbincangan kerja empat hari seminggu - Utusan Malaysia

Perak tiada perbincangan kerja empat hari seminggu

SAARANI Mohamad (tengah) menyerahkan watikah YP Smart Target SPM 2024 kepada pelajar cemerlang pada Majlis Apresiasi Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani dan Penyerahan Watikah YP Smart Target SPM 2024 di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri tidak mengadakan sebarang perbincangan berhubung cadangan memendekkan waktu bekerja sektor awam kepada empat hari setengah seperti mana yang sedang dibuat penelitian oleh kerajaan Johor.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perubahan waktu kerja tiada dalam perancangan kerajaan negeri setakat ini namun tidak menolak untuk melaksanakan kajian sekiranya diperlukan.

Katanya, kajian menyeluruh dan terperinci perlu dilaksanakan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan berhubung perkara itu.

“Perkara ini (tempoh waktu bekerja) perlukan kajian, mungkin negeri Johor telah buat kajian tapi dalam hal ini ‘lain padang lain belalang’.

“Kita tidak akan terburu-buru buat keputusan. Jika ada keperluan, kita akan buat kajian untuk lihat dan nilai. Setakat ini belum ada lagi (perbincangan dan perancangan),” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani dan Penyerahan Watikah YP Smart Target SPM 2024 Peringkat Negeri Perak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah; Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Khan dan Pengarah Pendidikan negeri, Safuan Raba’ai.

Media sebelum ini melaporkan, Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada hanya empat hari setengah.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Sementara itu, mengulas mengenai Jelajah Nyalaan Bara Api, Saarani berkata, ia adalah program motivasi yang menghimpunkan seramai 6,000 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seluruh negeri.

Katanya, bermula Oktober hingga November lalu, sebanyak 24 slot program motivasi diadakan di 12 daerah negeri ini dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Majlis Apresiasi ini pula bertujuan memberi penghargaan kepada penceramah serta pegawai pendidikan yang menjayakan program motivasi tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya