Perak SADC perkukuh sekuriti makanan negeri - Utusan Malaysia

Perak SADC perkukuh sekuriti makanan negeri

SULTAN Nazrin mendengar taklimat ringkas yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, YBhg. Dato’ Haji Yahanis Yahya berkaitan Plant Factory sempena lawatan Tuanku Sultan ke Pavilion Perak pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang berlangsung di MAEPS Serdang. –IHSAN PERAK SADC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAJAR dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu keterjaminan makanan untuk rakyat diutamakan, kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) terus komited mengambil langkah-langkah proaktif untuk memperkukuh sekuriti makanan negeri.

Perak SADC berpegang kepada titah baginda yang mahu keterjaminan makanan bukan sahaja untuk memastikan tiada rakyat yang tidur dalam kelaparan, tetapi untuk memastikan setiap keluarga mempunyai akses kepada makanan yang selamat dan berkhasiat.

Dalam konteks ini, peranan Perak SADC di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yahanis Yahya menjadi semakin signifikan dalam memajukan sektor makanan negeri.

Ini diterjemahkan menerusi inisiatif dan projek berimpak tinggi antaranya Perak Halal Industrial Park (HIP) dalam memperkukuhkan sektor makanan halal dan menjamin keselamatan bekalan makanan untuk jangka masa panjang.

Perak HIP direka untuk menjadi pusat ekosistem halal yang lengkap, merangkumi pelbagai aspek rantaian bekalan makanan halal dari huluan ke hiliran.

Keunikan dan potensi Perak HIP dijangka menarik minat para pelabur tempatan mahupun pelabur antarabangsa untuk menyertai dan melabur dalam projek transformatif ini.
Salah satu pencapaian penting dalam usaha menarik pelaburan antarabangsa ialah
menjalinkan kerjasama strategik dengan pelabur dari Pakistan melalui syarikat SPV, iaitu Leiner Gelatine Sdn.Bhd.

Pelabur ini merupakan pengeluar gelatin halal yang terkenal di peringkat global.

Usahasama ini merupakan langkah penting dalam mempelbagaikan dan meningkatkan kualiti produk halal yang dihasilkan di Perak.

Kerjasama antara kedua pihak bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan, tetapi juga membuka pasaran antarabangsa untuk produk nilai tinggi dari Perak.

Ini sekaligus akan membantu meningkatkan eksport produk halal Malaysia ke pasaran global, terutamanya ke negara-negara Islam serta meningkatkan profil Perak sebagai destinasi pelaburan yang menarik dalam industri halal global.

Keprihatinan Sultan Nazrin terhadap keterjaminan sekuriti makanan adalah manifestasi kebijaksanaan baginda dalam memastikan kelangsungan sektor pertanian di negeri Perak terus diperkasa.

Ini jelas dapat dirasai dengankeberangkatan baginda bersama Raja Pemaisuri Perak , Tuanku Zara Salim ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada September lalu.

Keberangkatan baginda mencemar duli ke Pavillion Perak di MAHA 2024 untuk melihat pelbagai pameran berteraskan teknologi dan industri makanan, kebudayaan,warisan,
produk pelancongan mencerminkan keprihatinan baginda terhadap sekuriti makanan.

Dalam pada itu, Perak SADC turut sama menyahut seruan baginda untuk melipatgandakan usaha meningkatkan keterjaminan makanan melalui program dan inisiatif melalui tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Perak SADC sentiasa mengambil langkah proaktif, khususnya dalam mengoptimumkan penggunaan tanah bagi aktiviti pertanian.

Usaha ini melibatkan penyewa dan pemajak Perak SADC dalam bidang tanaman kontan, buah-buahan, akuakultur, dan ternakan. Setakat ini, terdapat seramai 372 pengusaha di seluruh negeri Perak yang terlibat, dengan jumlah keluasan tanaman mencecah 3,154.202 hektar.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN