SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori tangki membawa muatan minyak petrol di Kilometer 275.7 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara) dekat Nilai di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, nahas pada pukul 4.40 pagi itu melibatkan sebuah lori tangki yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun manakala kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang lelaki berumur 22 tahun.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, lori tangki sedang bergerak dari Melaka menuju ke Seri Kembangan, Selangor. Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah belakang lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta yang bekerja sebagai penyelia tapak projek telah mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman badan dan maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Nilai di nombor 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai).- UTUSAN