Penunggang motosikal pertikai tugas JPJ ditahan

Penunggang motosikal pertikai tugas JPJ ditahan

JAZMANIE Shafawi ketika ditemui pemberita pada Ops Sepadu JPJ WPKL di Jalan Bangsar semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal bertindak agresif terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas ditahan kerana didapati tiada lesen memandu dalam Operasi Khas Motosikal di Jalan Bangsar, di sini malam tadi.

Lelaki tempatan berumur lingkungan 20-an itu ditahan anggota JPJ bertugas selepas pemeriksaan mendapati motosikal ditungganginya tidak mempunyai nombor pendaftaran di hadapan.

Bagaimanapun, individu terbabit memberikan alasan menunggang motosikal milik rakannya sebelum didapati tidak memiliki lesen yang sah.

Berang akibat diarahkan supaya berhenti untuk pemeriksaan, lelaki itu kemudiannya mula bertindak agresif dengan mempertikaikan tindakan yang diambil anggota JPJ bertugas.

Namun tindakan individu terbabit mengundang padah apabila semakan dilakukan mendapati nombor pendaftaran digunakan dipercayai palsu menyebabkan motosikalnya disita untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, operasi dijalankan bermula pada 9 malam itu melibatkan kekuatan seramai 150 pegawai dan anggota JPJ Kuala Lumpur.

Beliau berkata, operasi turut melibatkan pelbagai agensi antaranya Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Sebanyak 5,169 kenderaan melibatkan pelbagai kenderaan jenis kenderaan termasuk motosikal diperiksa selain 1,431 kesalahan dikesan melibatkan pelanggaran di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Antara kesalahan melibatkan tiada lesen memandu, tidak cukai jalan serta cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, ubah suai kenderaan dan pelbagai kesalahan teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar operasi berkenaan di Jalan Bangsar di sini awal pagi tadi.

Menurutnya, sebanyak 1,369 saman dikeluarkan serta 62 kenderaan melibatkan motosikal dan kereta disita dalam operasi ini.
Jelasnya, tindakan sitaan ini melibatkan kenderaan yang diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya.

“Selain itu, tindakan diambil bagi melengkapkan prosedur siasatan pelbagai kes kesalahan semasa dan rekod lampau pengendali kenderaan seperti tiada insurans, tiada lesen memandu, ubah suai piawai keselamatan dan sebagainya.

“Dalam operasi sama, dua individu dipercayai pendatang asing tanpa izin turut ditahan.

“Pihak AADK pula telah membuat saringan air kencing ke atas 20 individu dan menahan dua individu yang didapati positif dadah,” katanya.

Tambahnya, pihak JSPT turut mengeluarkan saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya