KLUANG: Seorang maut manakala dua cedera apabila sebuah treler terbabas merempuh pembahagi jalan menyebabkan kontena dibawanya terjatuh di laluan bertentangan di Kilometer 69.5 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Utara) pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 7.40 pagi itu menyebabkan seorang penunggang motosikal maut manakala seorang pemandu kereta serta penumpang hadapannya cedera parah.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas lori treler yang datang dari arah Utara ke Johor Bahru itu hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan menyebabkan lori treler serta kontena yang penuh dengan muatan baja “tertanggal” dan terjatuh ke laluan dari arah Selatan.
“Dalam masa sama, sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha jenis MT09 ditunggang lelaki berusia 33 tahun dan kereta jenis Honda Civic dipandu lelaki berumur 25 tahun bersama isterinya, 26 tahun serta seorang bayi lelaki berumur satu tahun dari arah Selatan tidak sempat memberhentikan kenderaan masing-masing sebelum merempuh kontena berkenaan.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala manakala pemandu kereta serta isterinya mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan namun anak mereka tidak cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, semua mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat dan rawatan.
Kata beliau, pemandu lori kontena berusia 40 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan untuk ujian saringan air kencing dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tambah Nik Mohd Azmi, kesesakan sejauh kira-kira 10 kilometer berpunca daripada kemalangan itu berjaya diselesaikan dengan pembukaan laluan kontra dari arah Selatan oleh pihak pengurusan lebuh raya. – UTUSAN