KAJANG: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja di sekitar daerah ini susulan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam tiga serbuan berasingan pada 15 November lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis turut merampas dadah jenis ganja dengan anggaran berat 36.4 kilogram (kg), cecair campuran ganja (2.95kg) dan bunga ganja (7.4kg).
“Serbuan pertama menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah sekitar Semenyih serta merampas dadah jenis ganja anggaran berat 2.1kg.
“Kedua-dua suspek berusia antara 29 dan 36 tahun serta salah seorang suspek bekerja sebagai penternak udang galah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.
Saringan awal air kencing salah seorang suspek didapati positif THC dan kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.
Polis turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi milik pasangan berkenaan dengan wang tunai bernilai RM25,000.
Susulan tangkapan kes pertama, polis kemudian menahan seorang lelaki tempatan di kawasan tempat letak kenderaan di sekitar Semenyih kira-kira pukul 2.45 petang dan merampas 5.3kg ganja.
Suspek berkenaan seorang penganggur bujang berusia 37 tahun dan disahkan positif THC menerusi ujian saringan air kencing.
Susulan serbuan pertama dan kedua itu, polis menangkap suspek keempat iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah rumah sekitar Semenyih.
Pemeriksaan lanjut di rumah suspek keempat berjaya membawa kepada penemuan ganja mampat seberat 28.9kg dan bunga ganja (7.6kg).
Polis turut merampas balutan rokok berisi campuran ganja seberat 120 gram dan rokok elektronik berisi cecair dicampuri ganja seberat 3kg.
Semakan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis THC dan memiliki tiga rekod kesalahan jenayah lampau.
Kesemua suspek direman antara empat hingga enam hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN