PASIR MAS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta pihak berkuasa Thailand untuk berkongsi senarai nama individu yang mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand serta terlibat dengan kesalahan jenayah.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN terbuka menerima sebarang maklumat dari pihak berkuasa Thailand berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, hal ini kerana Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan cukup baik termasuk hubungan antara kerajaan (G2G).
“Sepertimana sekarang, ada sejumlah nama yang mereka minta kita kembalikan ke negara itu dan kita juga mempunyai sejumlah nama yang kita minta mereka kesan dan kembalikan ke negara ini.
“Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Malaysia tidak mengiktiraf dua kerakyatan. Memiliki dua kad pengenalan dari dua negara berbeza merupakan kesalahan di negara ini kerana kad pengenalan adalah simbol pemilikan kerakyatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Bunga di sini.
Media sebelum ini melaporkan, kebanyakan ahli sindiket pengedaran atau suspek kes dadah yang ditangkap di negara ini mempunyai dua kad pengenalan atau dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Thailand.
Ketua Polis Narathiwat, Kolonel Polis Pratya Baiteh berkata, suspek yang dicekup terlibat kes-kes dadah di kawasan sempadan Thailand juga didapati menggunakan nama dan identiti yang berbeza pada kad pengenalan kedua-dua negara.
Menurutnya, siasatan mendapati, kelebihan memiliki dua kad pengenalan itu sekali gus memudahkan mereka untuk melarikan diri sama ada ke Malaysia atau Thailand sekiranya mereka diburu oleh pihak polis kedua-dua negara.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution memberitahu, beliau mengikuti siaran media yang memetik kenyataan pihak berkuasa di negara gajah putih itu berkaitan perkara tersebut.
“Platform yang boleh kita gunakan adalah jawatankuasa bersama berkaitan sempadan kedua-dua negara yang sedia ada. Mereka boleh sahaja menyerahkan senarai nama berkaitan melalui jawatankuasa itu,” ujarnya.-UTUSAN