PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar merayu kepada seluruh penjawat awam supaya berbangga bergelar ‘orang kerajaan’.
Menurutnya, jika penjawat awam tidak berbangga dengan pekerjaan mereka, bagaimana mereka mahu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kita mesti berbangga dengan perkhidmatan kita. Dan untuk kita berbangga dengan perkhidmatan kita, kita kena ada sifat luhur iaitu memuliakan perkhidmatan kita.
“Cara nak memuliakan perkhidmatan kita ialah dengan memberi perkhidmatan terbaik, penuh integriti dan dedikasi,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Kenegaraan Malaysia Madani: Taat Setia di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Shamsul berkata, beliau mahu seluruh penjawat awam berubah dan berbangga dapat berkhidmat sebagai pegawai kerajaan.
“Kalau kita pakai t-shirt dan t-shirt itu ada tulis ‘Google’ dan logo epal mesti bangga nak pakai tapi kalau tulis aku orang kerajaan (logo agensi kerajaan) mesti tolak tepi nak pakai kerana kita tak bangga dengan perkhidmatan kita.
“Jangan simpan baju yang ada tulis JPA dan JIM sebab malu nak pakai. Saya sendiri sudah start (mula) pakai baju kerajaan (logo agensi/kementerian),” katanya.
Katanya, pada hari ini, beliau merayu kepada semua penjawat awam supaya mengangkat balik martabat perkhidmatan awam.
Sementara itu, Shamsul berkata, setakat ini, lebih 250,000 penjawat awam telah menjalani Modul Latihan Malaysia MADANI Penjawat Awam yang dikelola oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).
“Matlamat kita adalah untuk mencapai 750,000 penjawat awam mengikut modul itu pada 2026 dan 1.4 juta penjawat awam menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN