KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berkaitan rakannya menyamar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pasir Mas semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 25 tahun, berasal dari Pokok Sena, Kedah, ditahan pada pukul 9 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, penjawat awam terbabit yang bekerja di negeri ini sudah lama mengenali suspek.
“Penjawat awam yang kita tahan ini turut dipercayai terlibat dengan penyamaran sebagai SPRM, namun masih siasatan lanjut masih lagi dijalankan. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, semasa ditahan tiada sebarang rampasan barangan dilakukan dan siasatan terhadap suspek pertama yang ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pasir Mas mendapati dia mempunyai rekod jenayah dan terlibat dengan penyamaran sebagai SPRM selama tiga tahun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. Suspek direman selama tujuh bermula hari ini,” katanya.
Polis turut menemui beberapa rakaman video dalam telefon bimbit berkait kes tersebut dan barangan serta pakaian SPRM yang dirampas itu dipercayai dibeli secara dalam talian. – UTUSAN