Peningkatan pasaran ekuiti bukti ekonomi Malaysia pulih

Peningkatan pasaran ekuiti bukti ekonomi Malaysia pulih

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan dalam permodalan pasaran ekuiti yang melepasi RM2 trilion bersamaan lebih $AS450 bilion membuktikan pemulihan ekonomi Malaysia pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, asas kepada mengekalkan keyakinan ini adalah rangka kerja pengawalseliaan yang kukuh dengan memastikan pasaran adil dan teratur, dengan peluang pengumpulan dana dan pelaburan pelbagai merangkumi ekuiti, derivatif, bon, dan sukuk.

“Sehubungan itu, saya ingin memandang tinggi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia atas usaha berterusan mereka dalam memastikan pasaran modal kita terus berkembang maju dan kekal menarik kepada para pelabur.

“Dalam evolusi berterusan dan usaha untuk mencapai pasaran modal yang dinamik, adalah penting untuk mengakui bahawa pemain pasaran modal memainkan peranan penting dalam membentuk arah tuju perniagaan dan masyarakat. 

“Mengendalikan bursa hari ini berdepan cabaran berterusan iaitu menyeimbangkan pulangan kepada pelabur, mempromosikan kebaikan sosial dan menghadapi trend gangguan yang mengubah landskap,” katanya dalam ucaptama sempena Perhimpunan Agung dan Persekutuan Bursa Dunia (WEF) Ke-63 dan Mesyuarat Agung 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2024 mencapai 5.3 peratus, menjadikan pengembangan sembilan bulan kepada 5.2 peratus, lebih besar berbanding 3.8 peratus tempoh yang sama sebelumnya.

Katanya, pada 2023, jumlah pelaburan yang diluluskan (FDI dan Domestik) mencatatkan rekod sebanyak RM329.5 bilion meningkat sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ia merupakan yang tertinggi dalam sejarah negara ini setakat ini. Kami juga berasa positif mengenai 2024.

“Tahun ini saja, gergasi teknologi terkemuka dunia daripada Amazon Web Services, hingga Google, Microsoft, telah mengumumkan pelaburan baharu dan/atau pengembangan pelaburan yang ketara berjumlah AS$16.9 bilion.

“Selain itu, agensi penarafan global terkemuka telah meningkatkan tinjauan mereka untuk Malaysia iaitu penarafan A- oleh S&P Global, dengan pandangan yang stabil; Fitch Ratings (BBB+), dengan pandangan yang stabil dan Moody’s (A3), dengan pandangan yang stabil,” katanya.

Menurut Anwar, November genap dua tahun pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menggariskan kerangka Malaysia Madani yang bertujuan memperbaiki dan membina semula asas Malaysia secara holistik. 

“Sesungguhnya, Malaysia kini sedang mengalami kebangkitan semula ekonomi dan sosial yang sangat transformatif,” katanya.

Anwar berkata, penyertaan runcit hanya menyumbang 25.7 peratus daripada nilai yang diperdagangkan di Bursa Malaysia pada akhir 2022 sekali gus sangat penting untuk menggalakkan inovasi kerana berupaya menarik minat pasaran termasuk penyertaan industri. 

Katanya, meningkatkan penglibatan pelabur runcit akan menjadikan pelaburan ekuiti sebagai sumber penciptaan kekayaan yang lebih biasa sejajar dengan visi Ekonomi Madani untuk menyeimbangkan bidang semua sektor. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya