KUALA LUMPUR: Seorang peniaga yang terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah motosikal sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia, lima hari lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas perbuatannya.
Mengikut pertuduhan, P. Kuhan Raj didakwa memandu kereta BMW dengan laju sehingga menyebabkan kematian pembonceng motosikal, Nur Naura Nathifa Mohd. El-Khuwalid di Lebuh Raya Bukit Jalil menghala Puchong pada pukul 9.50 malam, 15 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000 dan penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Salsabila Mohammad mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela, Inderpal Singh yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guamnya bekerja sendiri dan menanggung isteri yang tidak bekerja, dua orang anak masing-masing berusia enam dan empat tahun serta ibu bapa yang uzur.
Majistret Haneefa Ariffin membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu digantung berkuat kuasa serta merta.
Mahkamah turut menetapkan sebutan kes pada 21 Januari ini.
Sejak Sabtu lalu, tular di media sosial rakaman kamera papan pemuka sebuah kereta berdurasi 28 saat yang menunjukkan Nur Naura bersama ibu bapanya telah dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah belakang dan menukar lorong secara tiba-tiba sebelum melanggar motosikal ditunggangi mereka.
Rakaman itu, memaparkan kereta jenis BMW 5 Series yang dipandu laju telah merempuh sebuah motosikal sebelum berhenti agak jauh dari kawasan insiden.
Dalam kejadian tersebut, Nur Naura meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala ibu bapanya mengalami kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Mohd. Zamzuri Mohd. Isa, dalam satu kenyataan media menyatakan pemandu kereta berkenaan yang berusia 31 tahun itu telah ditahan ketika hadir ke balai polis untuk memberi keterangan. – UTUSAN