BESUT: Seorang peniaga sayur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan tiga beranak maut di Setiu, pada 25 November lepas.
Tertuduh, Muhammad Maani Salleh, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret
Nurliyana Md, Zukri.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki tersebut didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux secara melulu sehingga menyebabkan kematian Kamarudin Ibrahim, 55, isterinya, Maimunah Mat Isa, 54, dan anak kedua mereka, Nur Ardiena Kamarudin, 30.
Pasagan suami isteri itu menaiki kereta jenis Perodua Axia yang dipandu Nur Ardiena.
Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 35 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu – Kota Bharu dekat Kampung Sungai Lerek, Setiu, kira-kira pukul 4.30 pagi.
Muhammad Maani didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)..
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan lesen memandu digantung sementara tarikh sebutan semula pada 6 Januari 2025.
Di mahkamah sama, tertuduh juga didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1987.
Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh didapati telah memasukkan bahan dipercayai dadah jenis Nimetazepam ke dalam badan di tandas pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, pada 25 November lalu.
Pendakwaan ke atas tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee dan tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. – UTUSAN