BESUT: Seorang peniaga sayur direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kemalangan tiga beranak yang maut di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu dekat Kampung Sungai Lerek, Setiu, Isnin lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Majistret Besut, Nurliyana Md. Zukri.
Terdahulu, lelaki berusia 24 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah diiringi anggota polis pada pukul 9 pagi
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan tiga beranak dalam perjalanan pulang dari majlis konvokesyen maut selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu di Kampung Sungai Lerek, Setiu.
Kemalangan pada pukul 4.50 pagi itu meragut nyawa pasangan suami isteri, Kamarudin Ibrahim, 55, dan Maimunah Mat Isa, 54, dan anak perempuan mereka, Nur Ardiena 30, akibat kecederaan pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Sementara itu, anak bongsu pasangan itu, Nur Azwa Shamimi, 21, yang merupakan graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) pula cedera parah pada kaki dan tangan.
Dua lagi mangsa yang cedera ialah pemandu dan penumpang Toyota Hilux terbabit.
Kemalangan itu berlaku ketika keluarga tersebut dalam perjalanan pulang menghadiri konvokesyen Nur Azwa Shamimi di Unitar, Putrajaya. – UTUSAN