KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat percetakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menggunakan mesin cetak tanpa lesen yang sah dan menghasilkan penerbitan lucah, lima bulan lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, Chin Chang Swee, 44, didakwa telah menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), di bawah Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menghasilkan penerbitan yang lucah dengan menggunakan mesin cetak tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Kedua-dua perbuatan tersebut dilakukan di sebuah kilang percetakan Advance Cell Corporation Sdn.Bhd di Desa Tun Razak, Cheras pada pukul 10 pagi, 21 Jun lalu.
Lelaki itu boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada KDN, Muhammad Aliff Zahril Mohd Azhar mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguambela Adam Haikal yang mewakili tertuduh, memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung kedua ibu bapanya.
“Tertuduh hanya bekerja sebagai pengurus syarikat percetakan yang hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 hingga RM3,500 sebulan. Oleh itu, pihak pembelaan mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 memandangkan tidak ada keperluan untuk jumlah jaminan yang tinggi,” kata Adam.
Hakim Isralizam Sanusi kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan dan menetapkan 6 Januari 2025 bagi serahan dokumen.-UTUSAN