Pengikut GISB perlu bertaubat nasuha - Jawatankuasa Muzakarah MKI

Pengikut GISB perlu bertaubat nasuha – Jawatankuasa Muzakarah MKI

NOOH GADOT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengikut dan pemegang ajaran yang dibawa Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISB) hendaklah bertaubat nasuha setelah didapati kumpulan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, pihaknya berpandangan demikian setelah yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta dikemukakan yang mengkaji ajaran, pegangan dan fahaman dibawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Nasiruddin Mohd. Ali dan pengikutnya.

Katanya, ia dibuat setelah mendapati kumpulan tersebut mempercayai bahawa Asy-Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi di samping pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad akan muncul bersama sebagai pembantunya di akhir zaman.

“Asaari Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya. Selain itu, air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat.

“Mengamalkan ekonomi ma’ash yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah atau mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.

“Mana-mana orang yang berpegang pada mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Nooh memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-125 telah bersidang pada 24-26 September lalu telah membincangkan mengenai kajian isu-isu akidah, syariah dan akhlak serta tasawuf dalam GISB.

Oleh itu, muzakarah amat yakin dan berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang telah dikemukakan oleh penyelidik dan berpandangan dikemukakan.

Menurut Nooh, justeru itu mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dan dilarang berpegang, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya atau agen. 

Selain itu, tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya.

Katanya, ia termasuklah apa-apa filem, audio visual, rakaman, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan.

“Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang,” katanya.

Katanya, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia juga mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan yang bersesuaian bagi tujuan tersebut.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-267 pada 23-24 Oktober. 

“Dalam hal ini, majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya