PUTRAJAYA: Platform Syarahan Umum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir semalam diyakini dapat memperkukuhkan hubungan strategik Malaysia bersama universiti terkemuka itu yang terkenal sebagai sebuah institusi ilmu Islam ulung dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pada masa sama, ia adalah pengiktirafan besar Universiti Al-Azhar kepada ketokohan dan kepimpinan Perdana Menteri.
Menurut beliau, sebagai sebuah institusi ilmu Islam yang membawa manhaj kesederhanaan asas ketamadunan ummah, Universiti Al-Azhar memberikan sumbangan besar dalam menyatupadukan umat Islam serta membina generasi ilmuan di serata dunia.
“Semua pihak diseur agar benar-benar menghayati nilai-nilai Islam serta menterjemah kepada tindakan yang terbaik demi negara dan umat seperti dinyatakan Perdana Menteri dalam Syarahan Umum tersebut.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan meneruskan usaha mengambil tindakan atas saranan Perdana Menteri dalam Syarahan Umum tersebut agar anak-anak muda Islam diperlengkapkan dengan ilmu-ilmu keagamaan.
“Ini termasuk ilmu al-Quran, selain turut diberikan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) agar berlaku integrasi ilmu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada sesi syarahan umum itu semalam, Anwar berkongsi tentang usaha kerajaan Malaysia dalam memperkuatkan akidah serta legasi keilmuan Islam di negara ini di hadapan para ilmuwan dan pelajar universiti itu Al-Azhar sekali gus sebagai suatu penghormatan kerana universiti tersebut merupakan gedung ilmu yang memiliki sejarah lebih seribu tahun.
Kata beliau, Universiti Al-Azhar antara institusi yang telah memberi sumbangan pendidikan dan pencerahan serta berpengaruh dalam dunia Islam muktahir ini.
Pada sesi syarahan itu, Anwar memberitahu antara usaha kerajaan Malaysia sejak dua tahun terakhir ini seperti memperkenalkan dan mewajibkan pelajar Islam dari semua aliran sekolah di Malaysia memahami kitab Hadis 40 (Matan Arbain)
Selain itu, Anwar berkongsi mengenai persetujuan Malaysia untuk menyahut pelawaan Syeikhul Azhar dalam menjayakan Majlis Hukama’ al Muslimin pimpinan beliau dengan menamakan wakil termasuk seorang wanita. – UTUSAN