KOTA KINABALU: Cubaan kali kedua keldai dadah membawa masuk syabu seberat 24.5 kilogram membawa padah apabila tertangkap semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), baru-baru ini.
Terlepas semasa membawa masuk dadah ke negeri jiran sebelum ini menyebabkan lelaki berusia 24 tahun yang menjadi keldai dadah itu berani membawa dadah dari Kuala Lumpur untuk kali kedua.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, semasa tangkapan kira-kira pukul 8.30 pagi pada 7 November itu dilakukam, lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan itu membawa dua bagasi yang mengandungi 23 kotak bungkusan beras ‘Rice & More’.
Beliau berkata, setelah diperiksa didapati 23 bungkusan itu mengandungi dadah jenis syabu seberat 24.5 kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM800,000.
“Soal siasat yang dilakukan ke atas suspek yang ditahan di lapangan terbang membawa kepada tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki berusia 28 tahun. Suspek kedua yang bekerja sebagai ejen insurans itu disyaki sebagai dalang kepada sindiket pengedaran dadah untuk negeri Sabah.
“Suspek pertama adalah orang tempatan Sabah manakala suspek kedua dari Semenanjung. Kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti bagaimana sindiket ini memperoleh bekalan dadah di Semenanjung kemudian bagaimana mereka boleh membawa dadah melalui penerbangan awam,” katanya dalam sidang akbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Selain dadah, pihak polis turut merampas barang-barang persendirian milik suspek iaitu telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai.
Berdasarkan siasatan, suspek pertama mengaku pernah melakukan penghantaran dadah dari Kuala Lumpur ke negara jiran, Sarawak pada 5 November lalu. Ia membabitkan dadah bernilai kira-kira RM10 juta tapi, ketika itu dia tidak tertangkap.
Mengulas lanjut katanya, dadah yang dirampas dipercayai boleh menampung keperluan 81,000 orang penagih dadah di Sabah.
Jelas beliau, kedua-dua suspek direman sehingga 15 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN