GEORGE TOWN : Penggunaan air yang tinggi dikenal pasti sebagai antara punca berlakunya masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan di Pulau Pinang termasuk di kawasan Mukim 5, di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, ketika ini, penggunaan air di Pulau Pinang dihitung berdasarkan per liter kapita sehari (LKH) adalah lebih dua kali ganda daripada sasaran purata nasional, sekaligus memberi impak pada tekanan air semasa waktu puncak.
“Penggunaan air di Pulau Pinang, 307 LKH iaitu lebih dua kali ganda daripada sasaran purata nasional 180 LKH untuk tahun 2025 dan penggunaan yang tinggi ini jugalah yang menjadi antara punca masalah tekanan air rendah dan ketiadaan air ketika waktu puncak, antara pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan pukul 6 petang hingga 11 malam.
“Selain di Mukim 5 dalam daerah SPS masalah ini turut berlaku di lain-lain daerah seluruh negeri ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Zairil (DAP-Tanjong Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan Abidin Ismail (Pas-Sungai Bakap) mengenai masalah tekanan rendah dan gangguan bekalan air di Mukim 5.
Menurut Zairil, peningkatan peratusan kadar air tidak terhasil (NRW) turut berlaku berikutan PBAPP terpaksa meningkatkan tekanan paip-paip utama supaya lebih banyak air dapat disalurkan kepada pengguna untuk kegunaan harian.
“Pengunaan pam persendirian dan penyambungan dari paip PBAPP secara haram turut menyebabkan berlakunya gangguan kepada tekanan air sedia ada,” katanya.
Ujar Zairil, pembangunan kawasan perindustrian di Batu Kawan juga, bukan satu-satunya sebab utama masalah air berlaku di daerah SPS kerana PBAPP menerima sebanyak 2,844 permohonan Kebenaran Merancang di seluruh Pulau Pinang untuk tempoh tahun 2019-2023.
“Permohonan diterima menunjukkan pertambahan permintaan bekalan air di seluruh negeri Pulau Pinang dan tidak tertumpu di kawasan Batu Kawan sahaja.
Kawasan Perindustrian Batu Kawan terletak berhampiran dengan Rumah Pam Bukit Minyak yang membekalkan air kepada kawasan SPS, oleh itu, tekanan air di kawasan Batu Kawan juga bergantung kepada tekanan air di rumah pam tersebut dan paras air di dalam kolam takungan air Batu Kawan,” katanya. – UTUSAN