LARUT: Penggantungan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong pada 24 September lalu yang didakwa sebagai punca ketua bahagian itu yang juga Bendahari Bersatu Pahang, Datuk Roslan Hassan meletak jawatan hanya alasan untuk keluar parti.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sedangkan tindakan menggantung Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong itu disebabkan majoriti jawatankuasa bahagian itu meletakkan jawatan melebihi daripada setengah kerana tidak yakin dengan kepimpinan Roslan sebagai Ketua Bahagian itu.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan parti menggantung jawatankuasa bahagian itu kerana tidak cukup korum untuk mengadakan mesyuarat bahagian.
“Penggantungan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong sebagai punca utama beliau keluar parti sekadar alasan beliau sahaja.
“Saya nak memaklumkan, jawatankuasa bahagian itu meletak jawatan melebihi daripada setengah kerana tidak yakin dengan kepimpinan beliau sebagai Ketua Bahagian.
“Apabila itu berlaku, pengurusan parti tidak ada jalan lain selain menggantung jawatankuasa bahagian itu kerana tidak mencukupi korum bagi mengadakan mesyuarat bahagian. Maka sebab itu kita gantung. Dia boleh cakaplah apa alasan sekali pun,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada perasmian Persidangan Bersatu Bahagian Larut di Dewan Sungai Bayor, Selama di sini hari ini.
Menurut Hamzah, jika Roslan seorang pemimpin yang bertanggungjawab, sepatutnya beliau perlu menjaga jawatankuasa bahagian dan bukan meletakkan jawatan.
Beliau berkata, apabila ramai jawatankuasa meletak jawatan, parti tidak ada jalan lain melainkan menggantungkan bahagian itu.
“Kita tidak pecat dia dan kita tidak melakukan apa-apa perkara yang lebih daripada itu untuk mengelak daripada masalah yang lebih besar. Apabila satu-satu bahagian tidak boleh melakukan persidangan, maka kita tangguhkan.
“Bukan hanya dia sahaja, malahan banyak lagi bahagian-bahagian Bersatu di seluruh negara yang mengalami perkara yang sama,” katanya.
Menurut Hamzah, bahagian itu tetap diberi peluang untuk mengadakan mesyuarat semula dengan melantik jawatankuasa yang baharu.
Katanya, Bahagian Bersatu Bentong tidak digantung selamanya dan mesyuarat dan pemilihan ditangguhkan supaya diadakan pelantikan baharu untuk mesyuarat bahagian tersebut dapat bersidang semula.
“Bermula 7 November ini, Bersatu Bahagian Bersatu Bentong boleh mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan pada Disember pula mengadakan pemilihan bahagian,” katanya.
Semalam, Roslan mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta dan melepaskan semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Bendahari Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang.
Roslan berkata, tindakan peletakan jawatan itu kerana tidak lagi yakin dengan kepimpinan tertinggi parti yang dilihat gagal menguruskan parti, curang, tidak amanah, tiada integriti serta gagal melaksanakan tanggungjawab.
Pada masa sama, katanya, ia rentetan daripada penggantungan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong pada 24 September lalu tanpa sebab dan alasan kukuh. – UTUSAN